Malaysia kian hampiri ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia - Akmal Nasrullah

Iklan
Akmal Nasrullah ketika berucap pada majlis pelancaran laporan Tinjauan Ekonomi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD): Malaysia 2026 pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Malaysia kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang negara berpendapatan tinggi yang ditetapkan Bank Dunia susulan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan momentum pertumbuhan itu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, lebih banyak pekerjaan berkualiti serta peningkatan pendapatan rakyat.

Iklan
Iklan

"Ekonomi berkembang 5.8 peratus, inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus manakala kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus. Malaysia kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang negara berpendapatan tinggi.

"Ini merupakan angka yang menggalakkan, namun mencapai ambang tersebut bukan matlamat akhir. Yang lebih penting ialah memastikan pertumbuhan ekonomi menghasilkan gaji yang lebih baik, lebih banyak pekerjaan berkualiti serta kuasa beli rakyat yang lebih kukuh," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran laporan Tinjauan Ekonomi Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD): Malaysia 2026 di sini pada Selasa.

Iklan

Akmal Nasrullah berkata, laporan bebas berasaskan bukti itu akan menjadi rujukan penting dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, selain mempercepat reformasi struktur ekonomi negara.

Pada 2025, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia meningkat kepada RM57,200 atau kira-kira AS$13,351, berbanding ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia sebanyak AS$14,375.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus bagi 2026, disokong oleh permintaan domestik, pelaburan swasta, eksport serta sektor berintensifkan teknologi termasuk semikonduktor dan pusat data.

Tinjauan Ekonomi OECD: Malaysia 2026 turut mengenal pasti keperluan memastikan pelaburan dalam pendidikan dan latihan diterjemahkan kepada produktiviti serta pendapatan lebih tinggi sebagai antara cabaran struktur utama negara.

Laporan itu menyatakan bahawa 35.6 peratus pekerja berpendidikan tinggi masih berada dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, di bawah RMK13, kerajaan akan memperkukuh penyelarasan kurikulum dengan keperluan industri serta memperluas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Academy in Industry (AiI) dan program peningkatan kemahiran dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) serta ekonomi digital.

"Apabila 35.6 peratus pekerja berpendidikan tinggi masih bekerja dalam pekerjaan di bawah tahap kemahiran mereka, kejayaan sistem pendidikan tidak boleh dinilai berdasarkan bilangan graduan semata-mata.

Sementara itu, defisit fiskal Persekutuan berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025.

Beliau berkata, kerajaan kekal komited mengurangkan defisit itu kepada tiga peratus atau lebih rendah menjelang 2030 menerusi bantuan yang lebih bersasar serta pengurangan ketirisan, tanpa menjejaskan kebajikan golongan rentan.

"Kita telah mengurangkan defisit daripada 5.5 peratus kepada 3.7 peratus dan menyasarkan tiga peratus atau lebih rendah menjelang 2030.

"Konsolidasi fiskal bukan bermaksud mengurangkan sokongan kepada rakyat, sebaliknya memastikan setiap ringgit digunakan dengan lebih berkesan bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan infrastruktur," katanya.

Bagi meningkatkan produktiviti, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta Iltizam) menetapkan sasaran mengurangkan beban kawal selia yang tidak perlu sebanyak 25 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Kementerian Ekonomi akan mengenal pasti proses kelulusan perniagaan berimpak tinggi untuk diteliti secara menyeluruh dari awal hingga akhir, dengan standard penyampaian perkhidmatan yang lebih jelas, keputusan yang lebih telus dan boleh dijangka serta akauntabiliti lebih tinggi terhadap kelewatan.

Tinjauan Ekonomi OECD: Malaysia 2026, yang merupakan Kajian Ekonomi OECD kelima mengenai Malaysia sejak 2016, turut memuatkan bab bertema mengenai usaha memperkukuh kemahiran, pendidikan dan latihan.

Dapatan kajian itu dijangka membantu pelaksanaan RMK13 khususnya dalam aspek peningkatan produktiviti, pendidikan, pembangunan kemahiran, pendigitalan serta daya tahan terhadap perubahan iklim. - Bernama