SHAH ALAM - Siasatan terhadap anggota Rejimen 22 Komando, Truper Abdul Hamid Talib yang parah ketika berada di dalam kem pada Mac lalu perlu dipercepat dan dijalankan secara telus.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, siasatan menyeluruh perlu dilaksana bagi memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Pada 11 Mac lalu, Abdul Hamid mengalami kecederaan serius ketika berada di Kem Iskandar, Mersing, Johor.
Laporan perubatan yang dikeluarkan pada Isnin memaklumkan mangsa mengalami kecederaan otak traumatik yang teruk sehingga menyebabkan lumpuh pada keempat-empat anggota badan.
Bagaimanapun, mangsa sudah dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam tanpa jaminan bantuan susulan kepada keluarga.
Mangsa yang berasal dari Bum Bum, Samporna, Sabahitu kini tidak mampu bercakap selain hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan menerima nutrisi melalui tiub susulan kecederaan serius di bahagian kepala.
Kecederaan dialami mangsa didakwa berlaku selepas menjalani hukuman di kem terbabit dan bukannya terjatuh seperti dimaklumkan sebelum ini.
Keluarga mangsa pada 14 Mac lalu juga membuat laporan polis dan menggesa tindakan segera diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.