KUALA NERUS - Seorang lelaki berusia 44 tahun dilaporkan hilang selepas keluar mencari petai di kebun durian di Bukit Kampung Gemuruh, Tepoh, dekat sini pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Mohd Tarmizi Alias pada jam 2.15 petang semalam daripada keluarganya.
"Mangsa didakwa keluar seorang diri untuk ke kebun kira-kira 15 kilometer dari rumah pada jam 10.30 pagi dengan menunggang motosikal Honda Wave tanpa membawa dokumen pengenalan diri serta telefon bimbit,” katanya semasa dihubungi pada Selasa.
Azli berkata, operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan melibatkan pasukan keselamatan dengan bantuan anjing pengesan serta orang awam, meliputi radius dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Sementara itu, adik mangsa Noor Suriati, 35, berkata, ibunya Aminah Awang, 61, sudah dua hari tidak tidur lena kerana bimbang akan keselamatan abangnya yang lazimnya pulang ke rumah di Kampung Petaling, Tepoh sebelum Maghrib.
"Mak beritahu kami selepas abang tidak pulang sehingga malam, menyebabkan adik-beradik lelaki dan orang kampung cuba mencari di kebun tetapi hanya menemukan motosikalnya di kaki bukit,” katanya.
Noor Suriati berkata, Mohd Tarmizi, anak kedua daripada sembilan beradik itu sangat mahir dengan keadaan di kebun itu kerana sering membantu ayahnya selain turut mengambil upah memanjat pokok petai atau mengutip durian di kebun berhampiran. - Bernama