10 minit pujuk pelajar bertindak agresif di sekolah

Iklan
Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.33 pagi.

KUALA TERENGGANU - Detik cemas menyelamatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang bertindak agresif di sebuah sekolah menengah agama di sini berakhir selepas berjaya dipujuk pada Selasa.

​Tindakan pantas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berjaya menenangkan remaja berkenaan yang berada dalam keadaan beremosi di tingkat dua bangunan sekolah tersebut.

Iklan
Iklan

​Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Azli mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk dan meredakan emosi pelajar berkenaan yang dipercayai mengalami tekanan dan kemurungan.

​Menceritakan kembali insiden berkenaan, Azli berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi, beliau mendapati pelajar terbabit berada dalam keadaan emosi yang sangat tidak stabil sambil memegang objek tajam.

Iklan

​"Semasa sampai pelajar itu berada dalam keadaan tertekan dan tidak tenteram.

​"Saya berusaha menghampiri sambil memujuknya secara perlahan-lahan. Selepas dia berjaya ditenangkan, saya kemudian berjaya membawa pelajar itu ke kawasan yang lebih selamat," katanya.

Iklan

​Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoyyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.33 pagi.

​Menurutnya, sebuah jentera bersama kekuatan tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Tinggi I, Yusmizan Yusof terus dikejarkan ke lokasi bagi membantu kawalan keselamatan.

​"Pasukan bomba tiba di sekolah berkenaan kira-kira dua minit kemudian bagi mengambil tindakan kawalan dan persediaan keselamatan di tempat kejadian.

​"Maklumat awal daripada pihak sekolah memaklumkan pelajar berkenaan dipercayai meluahkan tekanan emosi yang dialaminya menerusi penulisan dalam sebuah buku latihan," katanya.

​Tambah beliau, operasi berkenaan turut melibatkan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).