PAPAR - Sebanyak RM17 juta daripada keseluruhan kos RM70.6 juta bagi projek menaik taraf Jalan Lok Kawi-Sabindo diperuntukkan bagi pengambilan tanah dan bayaran pampasan kepada pemilik premis yang terjejas di sepanjang jajaran projek berkenaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu melibatkan pampasan kepada 81 lot yang terkesan, termasuk struktur premis yang perlu diambil bagi membolehkan projek pelebaran jalan sepanjang 1.5 kilometer dilaksanakan.
Beliau berkata, daripada keseluruhan kos projek, sebanyak RM48 juta diperuntukkan bagi kerja pembinaan, manakala RM9.6 juta lagi digunakan untuk kerja-kerja pengalihan utiliti.
"Perkara ini perlu diperjelaskan kerana mungkin ada yang mempersoalkan mengapa projek sepanjang 1.5 kilometer menelan kos yang tinggi.
"Sebahagian besar kos itu melibatkan pampasan kepada pemilik tanah dan premis yang terkesan, dan kita memastikan mereka menerima pampasan yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jalan Lok Kawi-Sabindo di sini pada Selasa.
Menurut beliau, projek yang bermula pada Mac lalu itu dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan dan dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di laluan berkenaan.
Nanta dalam pada itu berkata, pelaksanaan projek akan dipantau rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selaku agensi pelaksana dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) serta JKR Malaysia memandangkan projek itu dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kementeriannya turut mengadakan sesi khas bersama pengurusan tertinggi KKR, JKR Malaysia, JKR Sabah dan JKR Sarawak baru-baru ini bagi mengenal pasti isu yang menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek-projek pembangunan serta mencari langkah penambahbaikan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerja reka bentuk bagi projek Bypass Pengalat-Papar bernilai RM538 juta yang melibatkan jajaran sepanjang 13 kilometer kini sedang dilaksanakan.
"Projek ini sebenarnya sudah lama dimohon oleh pemimpin tempatan di Papar, namun pelaksanaannya mengambil sedikit masa atas beberapa faktor. Bagaimanapun, saya gembira kerana kerja-kerja reka bentuk kini sedang dilaksanakan, manakala proses Kejuruteraan nilai (value engineering) sedang dibuat di JKR Malaysia, manakala penilaian nilai (value assessment) pula di Kementerian Ekonomi.
"Kita berharap proses tender dapat dilaksanakan pada penghujung tahun 2026 dan selepas semua proses dipenuhi, Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya dapat dikeluarkan pada awal tahun 2027," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan majlis pecah tanah itu sebagai permulaan kepada usaha menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang sekian lama membelenggu penduduk Papar.
Beliau berkata, sebelum ini kerajaan hanya mempertimbangkan pembinaan jajaran baharu kerana kosnya lebih rendah, namun beliau telah merayu kepada KKR supaya jajaran sedia ada dari Bulatan Sabindo hingga Sekolah Menengah Kebangssaan (SMK) Takis turut dimasukkan dalam pelaksanaan projek memandangkan laluan itu paling kritikal.
"Komponen dari Bulatan Sabindo hingga SMK Kinarut ini sangat penting kerana jumlah trafik sudah melebihi 25,000 kenderaan sehari.
"Tempoh perjalanan yang sepatutnya hanya sekitar 45 minit boleh mencecah hampir tiga jam ketika waktu puncak.
"Alhamdulillah rayuan itu dipertimbangkan dan hari ini kita melihat komponen pertama yang diumumkan oleh Perdana Menteri telah memasuki fasa pelaksanaan. KKR juga memberi komitmen bahawa komponen kedua iaitu projek Bypass Pengalat-Papar akan memulakan proses tender sekitar November tahun ini," katanya.