SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama dengan Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) sebagai Syarikat Pengendali Takaful (SPT) yang baharu mulai 1 Julai bagi memperkukuh produk Simpan SSPN Plus.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif itu memberi lebih banyak pilihan perlindungan takaful kepada pendeposit, di samping meningkatkan lagi nilai tambah produk Simpan SSPN Plus sebagai instrumen simpanan pendidikan yang komprehensif.
Menurut beliau, produk Simpan SSPN Plus sebelum ini melibatkan kerjasama strategik dengan tiga SPT iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB).
"Pakej ditawarkan ZTMB akan memastikan pelanggan terus menikmati manfaat perlindungan yang komprehensif dengan mengekalkan keistimewaan produk Simpan SSPN Plus.
"Kerjasama baharu ini sebahagian daripada komitmen berterusan PTPTN untuk memperluaskan akses kepada produk simpanan pendidikan yang dilengkapi perlindungan takaful berkualiti sekali gus memperkukuh nilai tambah produk Simpan SSPN Plus," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menambah, Simpan SSPN Plus bukan sahaja membantu ibu bapa dan penjaga membuat perancangan kewangan bagi pendidikan tinggi anak-anak, malah turut menyediakan perlindungan takaful sebagai jaminan kewangan kepada keluarga sekiranya berlaku musibah.
Dengan penyertaan ZTMB, pihaknya yakin pelanggan akan memperoleh pengalaman lebih baik melalui pilihan perlindungan yang pelbagai dan berkualiti.
"PTPTN yakin kerjasama strategik ini akan terus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN Plus sebagai pilihan utama simpanan pendidikan di Malaysia.
"Produk ini bukan sahaja membantu ibu bapa dan penjaga merancang pembiayaan pendidikan tinggi anak-anak secara sistematik, malah turut menawarkan perlindungan kewangan yang komprehensif bagi menjamin kesejahteraan keluarga," ujarnya.
Simpan SSPN Plus merupakan produk simpanan pendidikan yang menawarkan enam pilihan pakej dengan komitmen bulanan bermula serendah RM30 bagi Pakej Intan sehingga RM500 untuk Pakej Berlian dengan manfaat tambahan di samping sumbangan premium murah.
Melalui kerjasama dengan ZTMB, Simpan SSPN Plus menyediakan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat takaful penyakit kritikal, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan tiga orang anak, elaun kemasukan ke hospital serta perlindungan takaful buat pendeposit sehingga mencapai umur 65 tahun.
Selain itu, Simpan SSPN Plus menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit, antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
Proses pembukaan akaun juga mudah dan tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan bagi semua pakej kecuali Pakej Berlian.
Bagi pakej tersebut, pendeposit hanya perlu menjawab tiga soalan kesihatan tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN Plus boleh didapati di portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN bagi perkhidmatan lebih mudah, cepat dan selamat.