Manivannan cabar Zaidy berdebat, mahu rakyat nilai prestasi calon

Iklan
Manivannan mencabar calon BN, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir untuk berdebat secara terbuka di hadapan penduduk setempat.

JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivannan mencabar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir untuk berdebat secara terbuka di hadapan penduduk setempat.

Manivannan yang juga Setiausaha Politik di Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, debat itu penting bagi membolehkan kedua-dua calon membentangkan rekod perkhidmatan, perancangan serta inisiatif masing-masing kepada pengundi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau mencadangkan debat tersebut diadakan di daerah mengundi Taman Jaya berikutan terdapat pelbagai persoalan dibangkitkan masyarakat mengenai perkhidmatan calon BN berkenaan.

“Oleh itu, saya sarankan beliau turun padang dan berdebat dengan saya di hadapan masyarakat setempat. Biar rakyat menilai perkara yang benar atau salah serta membandingkan apa yang boleh kami tawarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di DUN Jeram Padang di sini pada petang Isnin.

Iklan

Manivannan mendakwa, calon BN itu tidak kelihatan di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu, namun kembali menjelang pilihan raya dan mengaitkan beberapa pelaksanaan Kerajaan Persekutuan sebagai kejayaan peribadinya.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu diperjelaskan supaya setiap program atau bantuan yang dilaksanakan kerajaan tidak digunakan sebagai bahan retorik politik sehingga boleh mengelirukan pengundi.

Iklan

“Saya mahu memperbetulkan beberapa perkara yang dimuat naik di Facebook. Kalau benar banyak perkara telah dilakukan, datang dan maklumkan kepada rakyat. Saya juga mahu bertanyakan beberapa soalan supaya rakyat memahami siapa yang sebenarnya melaksanakan perkara itu,” katanya.

Menurut bekas Ahli Parlimen Kapar itu, debat tersebut boleh dianjurkan oleh mana-mana organisasi media secara langsung dan profesional, berpandukan tatacara serta garis panduan yang sewajarnya.

Dalam pada itu, Manivannan berkata, selain ajakan debat berkenaan, fokusnya kini adalah 10 teras tawarannya meliputi tadbir urus bersih, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pembangunan belia dan wanita, pendidikan, perumahan mampu milik, pertanian moden, pelancongan, kesihatan serta penambahbaikan infrastruktur buat penduduk di DUN Jeram Padang.