Ketua Pemuda MCA balas sajak Hassan, tegaskan institusi Diraja perlu dihormati

Iklan
LING TIAN SOON (kiri), Hassan Abdul Karim (kanan)

JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon membidas sajak Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bertajuk 'Patik Tak Rela' yang dipercayai menyentuh isu tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tian Soon yang juga Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor berkata, bait-bait sajak berkenaan wajar dipandang serius kerana kebebasan bersuara perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab menghormati Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja Berperlembagaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai pemimpin veteran, Hassan sepatutnya memahami bahawa institusi Raja bukan sekadar lambang negara, sebaliknya payung kedaulatan yang menaungi seluruh rakyat.

"Kuasa yang diperuntukkan kepada Seri Paduka Baginda melalui Perlembagaan Persekutuan sewajarnya dihormati, bukan hanya ketika keputusan seiring dengan kehendak kita tetapi juga ketika ia tidak memenuhi hasrat dan pandangan peribadi," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng turut menegaskan institusi Raja di negara ini bersifat neutral dan melangkaui kepentingan politik.

Tian Soon berkata, dirinya juga tidak rela melihat mana-mana pihak sewenang-wenangnya menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi jika tindakan yang sepatutnya dilaksanakan menurut lunas Perlembagaan sengaja dilengah-lengahkan atau dinafikan.

Iklan

"Saya juga tak rela melihat sesetengah pihak sewenang-wenangnya menyanggah titah Tuanku.

"Titah yang mempunyai asas perlembagaan bukan untuk dipermainkan mengikut selera politik, dan keluhuran undang-undang bukan untuk dipilih hanya ketika menguntungkan diri mana-mana pihak," katanya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tujuan Hassan menyiarkan sajak berkenaan secara terbuka dan sama ada ia bertujuan menghasut rakyat supaya turut menyanggah Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Tian Soon menegaskan perbezaan pandangan dalam demokrasi perlu diraikan tanpa mengetepikan adab serta prinsip kenegaraan.

"Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai hilang adab dan derhaka. Kita boleh berlainan pendirian, tetapi jangan sampai melupakan asas kenegaraan.

"Negara ini tidak dibina atas kehendak seorang individu, sebaliknya dipasakkan pada keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan," katanya.