KUALA LUMPUR – Kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur didapati memiliki dokumen yang sah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis telah memindahkan seramai 113 pelarian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada jam 8.50 malam, Isnin.
"Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Fadil berkata, tindakan dokumentasi ke atas pelarian telah dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur (JKA) serta wakil bersama pejabat UNHCR.
"Hasil dari proses dokumentasi yang dijalankan terhadap warga rohingya di perkarangan Dataran Wira IPK Kuala lumpur mendapati kesemua warga rohingya mempunyai dokumen UNHCR yang sah," katanya.
Terdahulu, media melaporkan operasi pemindahan bermula pada 8.20 malam dengan menggunakan empat trak polis, selepas dua trak yang disediakan pada awalnya tidak mencukupi berikutan kebanyakan pelarian itu turut membawa bagasi dan barangan peribadi.
Beliau berkata, kesemua etnik Rohingya ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur.
"Setakat ini, pihak UNHCR sedang berusaha mengambil tindakan lanjut ke atas komuniti pelarian yang ada pada hari ini," ujarnya.