Lelaki miliki tiga rekod narkotik ditahan, dadah dan wang tunai RM97,000 dirampas

Iklan
Suspek direman lima hari dan semua dadah dan wang tunai dirampas. Foto Polis Bera

BERA – Seorang lelaki Melayu yang mempunyai tiga rekod berkaitan kes jenayah narkotik ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di tepi jalan di kawasan Felda Tembangau 1, Kemayan, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, suspek yang menaiki sebuah motosikal Honda itu ditahan sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera kira-kira jam 1 pagi hasil maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki jenis syabu seberat 367.55 gram, pil Erimin 5 seberat 27.10 gram dan ganja seberat 138.17 gram.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM21,502," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut diambil dengan menyita sebuah motosikal jenis Kawasaki milik suspek yang dianggarkan bernilai RM25,000 serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM97,000.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine (benzo).

Iklan

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 27 Julai hingga 2 Ogos bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Zulkiflee menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

"Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti tersebut adalah kesalahan serius di sisi undang-undang dan kita komited memerangi dadah yang merupakan musuh nombor satu negara demi melindungi generasi masa kini.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222," katanya.