BERCERITA bab memancing, memang ramai yang mengaku otai. Sebut sahaja nama ikan, lubuk rahsia, jenis umpan atau waktu air pasang surut, semuanya ada dalam kepala.
Namun di sebalik itu semua, Merak Jalanan melihat ada yang mereka terlepas pandang atau ramai buat-buat lupa iaitu soal keselamatan.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tragedi seorang pemancing yang terjatuh ke laut ketika memancing di kawasan Jambatan Pulau Pinang sehingga meragut nyawa.
Peristiwa itu bukan sekadar berita sedih, sebaliknya satu peringatan bahawa hobi yang menyeronokkan ini juga mempunyai risiko yang tidak boleh dipandang enteng.
Ironinya, ada yang sanggup berbelanja ribuan ringgit membeli joran, kekili, sonar pengesan ikan dan pelbagai aksesori canggih.
Namun, apabila disuruh memakai jaket keselamatan atau memilih lokasi lebih selamat, banyak pula alasannya.
Merak Jalanan kadang-kadang hairan. Ramai begitu obses mencari lubuk ikan, tetapi tidak pernah bersungguh-sungguh mencari ilmu keselamatan.
Lebih membimbangkan apabila budaya 'berani kerana biasa' semakin menebal. Sudah bertahun-tahun memancing di tempat sama, terus merasakan diri kebal daripada kemalangan.
Hakikatnya laut, sungai dan ombak tidak pernah memilih mangsa. Alam tidak pernah memberi diskaun kepada orang yang berpengalaman.
Mungkin sudah sampai masanya setiap kaki pancing berhenti berlumba-lumba menunjukkan siapa paling banyak menaikkan ikan. Sebaliknya, berlumba-lumbalah menjadi orang yang paling cakna tentang keselamatan.
Lagipun, ikan terlepas masih boleh dicari semula namun apabila nyawa terlepas, ia tidak akan kembali lagi.