Rohingya dihalau, adakah empati rakyat Malaysia sudah habis?

Iklan
Seramai 126 etnik Rohingya terdiri daripada lapisan umur berkumpul di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin.

TINDAKAN beberapa pemilik rumah di Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang yang dilaporkan enggan lagi menyewakan rumah kepada etnik Rohingya mengundang pelbagai reaksi.

Ada yang menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan, namun tidak kurang juga berpendapat penduduk tempatan berhak menentukan siapa yang tinggal di kawasan perumahan mereka.

Iklan
Iklan

Insiden itu sekali lagi membangkitkan persoalan yang semakin sukar dijawab, adakah empati rakyat Malaysia terhadap nasib Rohingya semakin pudar?

Ketika krisis kemanusiaan di Myanmar memuncak sekitar 2017, Malaysia antara negara yang paling lantang menyuarakan pembelaan terhadap etnik Rohingya.

Iklan

Pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan orang awam tampil menghulurkan bantuan kewangan, makanan bahkan keperluan asas.

Bagaimanapun selepas hampir sedekad, sentimen tersebut dilihat semakin berubah.

Iklan

Di beberapa kawasan penempatan, timbul rungutan berkaitan isu kebersihan, kesesakan rumah, perselisihan budaya, persaingan mendapatkan pekerjaan serta kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

Sama ada semua dakwaan itu benar atau sekadar persepsi, ia sedikit demi sedikit mempengaruhi pandangan masyarakat.

Ada yang turut menyifatkan etnik Rohingya sebagai golongan 'sudah beri betis hendak paha'.

Hakikatnya, rakyat tempatan juga mempunyai hak untuk hidup dalam suasana yang selesa dan harmoni.

Tindakan menghalau 126 etnik Rohingya dari Kampung Kuala Muda sehingga memaksa mereka menyewa tiga bas ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan mungkin bukan semata-mata soal hilangnya rasa belas ihsan.

Tetapi, ia juga mencerminkan keletihan rakyat setempat dalam berdepan isu yang berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh.

Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951. Keadaan sedemikian menyebabkan pelarian terus berada dalam keadaan 'tergantung' tanpa status jelas, manakala komuniti tempatan pula terpaksa menanggung kesan sosial untuk tempoh yang panjang.

Justeru, tidak adil jika seluruh beban pengurusan terus dipikul rakyat Malaysia semata-mata.

Krisis Rohingya merupakan isu kemanusiaan serantau yang memerlukan komitmen lebih besar daripada masyarakat antarabangsa, termasuk usaha penempatan semula dan penyelesaian politik di Myanmar.

Empati sememangnya nilai yang penting dalam masyarakat. Namun, empati juga mempunyai batas apabila sesuatu krisis berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.

Apa yang berlaku di Kampung Kuala Muda sepatutnya menjadi peringatan bahawa belas ihsan sahaja tidak mencukupi.

Tanpa dasar jelas dan penyelesaian jangka panjang, jurang antara masyarakat tempatan dengan komuniti pelarian terus melebar, sekali gus menghakis rasa simpati yang pernah begitu kuat suatu ketika dahulu.

Tidak mustahil situasi di Kampung Kuala Muda 'berjangkit' ke kawasan lain disebabkan rakyat Malaysia sudah terlalu lama bersabar.