Tanggungjawab suami lebih besar daripada kuasa

Iklan
LELAKI qawwam akan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa dengan baik. Foto Canva/Gambar kecil: DR KHAIRUL HAMIMAH (atas) dan DR ZAIZUL (bawah)

Sering mahukan ketaatan isteri, namun sering lupa qawwam datang bersama tanggungjawab besar

BARU-BARU ini, kita digemparkan dengan satu kes yang mencabar perikemanusiaan apabila seorang isteri dipukul oleh suaminya menggunakan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah. 

Mangsa mengalami keguguran dan cedera parah akibat kekejaman itu. Kes ini tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan ramai. 

Iklan
Iklan

Namun di sebalik kemarahan itu, timbul satu persoalan yang lebih mendalam, apakah yang telah berlaku kepada lelaki tentang kefahaman dan peranannya sebagai suami dalam Islam?

Kedudukan itu disebut dengan satu perkataan yang sering disalah erti iaitu qawwam.

Iklan

Bukan kuasa tetapi amanah

Firman ALLAH SWT dalam ayat ke-34 surah an-Nisa': “Kaum lelaki itu qawwam terhadap kaum wanita kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka telah membelanjakan sebahagian daripada harta mereka.”

Iklan

Ramai yang memahami dan menterjemahkan qawwam sebagai “berkuasa penuh” sedangkan perkataan itu sendiri berasal daripada akar kata qaama yang bermaksud berdiri, bukan duduk berehat dan menunggu. 

KUAT bukan bermaksud suami boleh lakukan sesuka hati terhadap isteri. Foto Canva

Ia bermaksud berdiri teguh, konsisten dan aktif dalam menjaga. Seorang suami yang benar-benar qawwam ialah seorang yang sentiasa hadir melindungi, tidak lepas tangan ketika susah dan tidak bertukar-tukar mengikut emosi dan perasaan.

Al-Qurtubi pula mentafsirkan qawwam sebagai tanggungjawab menanggung nafkah isteri sekaligus mempertahankan serta melindunginya daripada sebarang bahaya. 

Ulama menggunakan perkataan adh-dhabb dalam menjelaskan tugas ini. Adh-dhabb bermaksud menangkis dan menghalang seperti seorang pengawal yang berdiri di hadapan untuk memastikan tiada sebarang bahaya berlaku ke atas orang yang dijaganya. 

Itulah tugas sebenar seorang suami sebagai qawwam, berdiri di hadapan untuk melindungi, bukan berdiri di belakang untuk menyerang.

Teladan Rasulullah SAW

Tidak ada contoh yang lebih baik menjelaskan makna qawwam selain daripada peribadi Rasulullah SAW sendiri. 

Anas RA meriwayatkan dalam satu perjalanan, Rasulullah menegur jurupandu untanya yang bernama Anjasyah: “Perlahan-perlahan wahai Anjasyah. Sesungguhnya kamu sedang membawa kaca-kaca.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari) 

Apa yang dimaksudkan dengan kaca-kaca itu ialah para isteri Baginda yang sedang menunggang unta. 

Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan Anjasyah berhati-hati agar para wanita tidak terjatuh. 

Sedangkan sekadar duduk di atas unta pun Baginda memastikan isterinya tidak tercedera, apatah lagi seorang suami yang mengangkat tangan memukul isterinya dengan batang penyapu dan getah paip. Di manakah letaknya nilai qawwam dalam suami tersebut?

Perintah jelas

Syariah Islam amat jelas dalam menetapkan hak dan kewajipan suami isteri. ALLAH berfirman dalam ayat ke-19 surah an-Nisa: “Dan bergaullah dengan mereka secara baik”. 

MENJADI tanggungjawab suami untuk membimbing isteri termasuk dalam urusan agama. Foto Canva

Perintah bergaul dengan baik ini bukan sekadar saranan, namun kewajipan yang mengikat setiap suami. 

Rasulullah SAW turut bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan ke atas apa yang dipimpinnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Suami yang menjaga dan melindungi isteri sebenarnya sedang melaksanakan ibadah yang mulia. 

Sebaliknya, suami yang menzalimi isteri bukan sahaja gagal sebagai qawwam, bahkan sedang mengumpulkan dosa yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH Yang MAHA ADIL.

Cermin untuk setiap suami

Qawwam bukan hak yang dituntut, namun amanah yang dipikul. 

Lelaki yang menzalimi isteri bukan sahaja tidak melaksanakan tanggungjawab qawwam, malah telah berdiri di atas tapak yang bertentangan sepenuhnya dengan maksud ayat di atas.

ISTERI yang didera suami hendaklah melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa. Foto Canva

Kes yang tular ini sepatutnya menjadi cermin bagi setiap suami. Bukan untuk menghukum orang lain, tetapi untuk bertanya kepada diri sendiri: 

1 - Sudahkah aku benar-benar melaksanakan qawwam sebagaimana yang ALLAH perintahkan dan Rasulullah contohkan kepada umatnya? 

2 - Sudahkah aku melindungi atau apakah aku menyakiti? 

3 - Sudahkah aku menjadi tempat sandaran atau apakah aku punca kepada ketakutan?

***PROF MADYA DR KHAIRUL HAMIMAH MOHAMMAD JODI merupakan Pensyarah Fakulti Sains Sosial, Open Universiti Malaysia dan PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia