SEJAK akhir-akhir ini, isu skim pelaburan berasaskan emas yang menggunakan akad Wakalah bil Mudharabah kembali tular di media sosial.
Ramai yang tertarik kerana ditawarkan pulangan tetap yang lumayan iaitu sehingga RM20 setiap gram emas yang diserahkan serta dijanjikan emas akan dilindungi dan dilaburkan mengikut syariah.
Persoalannya, adakah benar skim seperti ini patuh syariah atau ia sekadar bungkusan istilah bahasa Arab yang menyembunyikan struktur kewangan yang bermasalah?
Wakil Penasihat Kewangan Islam (IFAR), Ustaz Mohd Hafidz Mohd Zawawi menjelaskan, jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut bukan setakat halal atau haram yang ringkas, bahkan ia memerlukan usaha 'bedah struktur', memahami aliran operasi dan menilai setiap langkah dari sudut Fiqh Muamalat serta risiko sebenar kepada pelanggan.
Ujarnya, berdasarkan dokumen perjanjian yang tular, skim ini berjalan dalam enam langkah utama iaitu:
Langkah 1 - Penyerahan emas
Pelanggan menyerahkan barang emas miliknya sama ada emas 916 atau emas 999 kepada syarikat. Dokumen menyatakan emas tersebut kekal milik penuh pelanggan sepanjang tempoh perjanjian.
Langkah 2 - Pelantikan wakil dan gadaian
Pelanggan melantik syarikat sebagai wakil untuk menggadaikan emas tersebut di mana-mana institusi Ar-Rahnu patuh syariah dan memberi izin kepada syarikat supaya hasil gadaian digunakan sebagai modal perniagaan syarikat.
Langkah 3 - Tempoh perjanjian
Perjanjian berkuat kuasa selama enam bulan dan boleh disambung dengan persetujuan bersama.
Langkah 4 - Agihan keuntungan
Setiap bulan syarikat memberi agihan dengan kadar maksimum RM20/gram sebulan, tertakluk kepada keuntungan sebenar. Jika tiada untung, syarikat tidak wajib membayarnya.
Langkah 5 - Tamat tempoh dan penebusan
Selepas enam bulan, syarikat akan menebus emas dari Ar-Rahnu dan memulangkannya dalam tempoh 14 hari. Jika syarikat gagal menebus, ia berjanji akan menggantikan dengan nilai semasa emas.
Langkah 6 - Klausa pengesahan syariah
Klausa 'Kedua-dua pihak mengesahkan bahawa akad ini dilaksanakan berdasarkan prinsip Wakalah bil Mudharabah yang dibenarkan syarak dan bebas daripada unsur riba, gharar dan maisir'.
Analisis risiko dan hukum akad
Langkah 1 - Penyerahan emas
Risiko - Walaupun dokumen menulis"emas kekal milik penuh pelanggan", secara realiti emas itu telah keluar daripada kawalan fizikal pemiliknya. Tiada resit Ar-Rahnu atas nama pelanggan, tiada sijil pegangan pihak ketiga yang sah. Pelanggan kehilangan pegangan tangan-ke-tangan ke atas hartanya atau dalam istilah Fiqh, Yadan bi yadin.
Langkah 2 - Pelantikan wakil dan gadaian di Ar-Rahnu
Risiko (paling kritikal) - Apabila syarikat menggadai di Ar-Rahnu, seacra prosedur Ar-Rahnu, pemilik berdaftar resit gadaian ialah syarikat atau ejen, bukan pelanggan.
Jika syarikat gulung tikar, lari atau ejen meninggal dunia, maka pelanggan tidak boleh menebus emasnya sendiri di kaunter Ar-Rahnu kerana namanya tidak wujud dalam sistem. Inilah jurang antara"milik secara dokumen perjanjian" dan"milik secara perundangan Ar-Rahnu".
Hukum akad - Walaupun wakalah untuk menggadai itu harus, syarat asas ar-rahn menetapkan hanya pemilik sah yang boleh menggadaikan harta.
Resit Ar-Rahnu yang tidak atas nama pemilik sebenar mewujudkan tadlis (penyamaran identiti pemilik) dan dari sudut Ar-Rahnu sendiri, syarikat sebenarnya menggadaikan harta yang bukan miliknya.
Langkah 3 - Tempoh perjanjian 6 bulan
Risiko - Pelanggan terikat selama enam bulan. Sepanjang tempoh ini, emasnya berada dalam pegangan pihak ketiga (Ar-Rahnu), manakala wang gadaian digunakan oleh syarikat.
Hukum akad - Tempoh tertentu pada asasnya harus dalam mudharabah. Tetapi apabila tempoh ini menjadi pengikat modal kepada akad yang cacat di Langkah 4 dan 5, ia membesarkan kemudaratan (dharar) tanpa pintu keluar yang adil bagi pelanggan.
Langkah 4 - Agihan RM20/gram, riba terselindung
Risiko - Janji pulangan bulanan yang tinggi dan konsisten merupakan ciri klasik skim Ponzi. Jika harga satu gram emas dianggarkan RM450, pulangan RM20/bulan bersamaann 4.4 peratus sebulan atau kira-kira 53 peratus setahun. Tiada perniagaan halal yang lazim memberi pulangan sekonsisten ini tanpa risiko.
Hukum akad - Dalam mudharabah sah, keuntungan mesti berdasarkan nisbah peratusan keuntungan sebenar (sebagai contoh kadar 60:40), bukan jumlah tetap atas berat aset.
Langkah 5 - Tamat tempoh, jaminan modal
Risiko - Klausa “Syarikat akan mengganti nilai semasa emas jika gagal menebus” kelihatan melindungi pelanggan. Tetapi inilah titik kritikal yang merosakkan akad mudharabah.
Hukum akad - Rukun mudharabah yang muktamad iaitu kerugian modal ditanggung oleh pemilik modal (rabbul mal), manakala mudharib rugi dari segi masa dan tenaga (kecuali ta‘addi atau kecuaian terbukti).
Hasilnya akad menjadi fasid (rosak atau tidak sah) dan pulangan yang dijanjikan jatuh kepada riba kerana yang dilindungi modalnya tetapi diberi pulangan tetap adalah hakikatnya pinjaman berbunga, bukan perkongsian perniagaan.
Langkah 6 - Klausa pengesahan syariah oleh pelanggan
Risiko - Klausa ini memindahkan beban pengesahan syariah daripada syarikat (yang sepatutnya melantik Penasihat Syariah bertauliah) kepada pelanggan biasa yang bukan pakar Fiqh Muamalat.
Apabila berlaku pertikaian, syarikat boleh berhujah pelanggan “telah bersetuju” akad ini patuh syariah.
Hukum akad - Dalam Usul Fiqh, pengakuan (iqrar) tidak boleh menjadikan yang batil itu sah. Inilah yang dipanggil hilah iaitu helah hukum untuk lari daripada tanggungjawab.
Risiko dan hukum akad
Menurut Ustaz Mohd Hafidz, setelah membedah keenam-enam langkah, pihaknya dapat melihat akad ini bukan sekadar tidak sempurna, malah ia mengandungi tiga unsur yang dilarang syarak secara serentak iaitu:
1 - Riba — pulangan tetap RM20/gram yang dikira atas berat aset (bukan untung sebenar), serta jaminan modal yang menjadikan akad mudharabah hakikatnya pinjaman berbunga.
2 - Gharar — ketidakjelasan mashru‘ (projek perniagaan), ketidakjelasan akad penyerahan emas dan kekaburan status syarikat sama ada wakil atau pengusaha.
3 - Maisir atau Qimar — apabila pulangan dijanjikan tetap tetapi sumber dana bergantung kepada penyertaan pelanggan baharu (ciri-ciri Skim Ponzi), unsur qimar (perjudian) timbul dari sudut “siapa yang tertangkap di bahagian akhir akan rugi semuanya”.
Hukum akhir
Jelasnya, berdasarkan kerangka Fiqh Muamalat, akad seperti ini tergolong sebagai akad fasid atau batil iaitu akad yang rosak atau tidak sah dari sudut syarak.
"Status syubhah yang dimaksudkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW telah melepasi ambang dan ia bergerak lebih dekat kepada haram serta wajib dijauhi oleh setiap Muslim yang menjaga wara‘ (sifat berhati-hati dalam perkara syubhah).
Autoriti agama dan kewangan
Beliau menjelaskan lagi, pihak autoriti agama dan kewangan negara sudah mengeluarkan panduan mengenai perkara ini:
1 - Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang membincangkan Parameter Pelaburan Emas telah menetapkan, transaksi emas mesti bebas daripada unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman; serta penyerahan emas mestilah dilakukan dalam majlis akad secara taqabudh (serta-merta) tanpa penangguhan.
Skim yang melibatkan gadaian emas pihak ketiga selama berbulan tanpa kawalan pemilik jelas tidak memenuhi parameter ini.
2 - Majlis Penasihat Syariah BNM dalam dokumen rasmi Shariah Resolutions in Islamic Finance (Second Edition) yang diterbitkan di laman web BNM, menetapkan bahawa keuntungan dalam akad mudharabah mesti dibahagikan berdasarkan nisbah peratusan daripada keuntungan sebenar dan modal rabbul mal tidak boleh dijamin kecuali dalam keadaan kecuaian (ta‘addi) oleh mudharib.
Jaminan modal yang menyeluruh menjadikan akad tersebut menyerupai pinjaman berbunga.
Jalan keluar mengikut syariat
Bagi masyarakat Muslim, Ustaz Mohd Hafidz berpesan, sebelum melibatkan diri dengan mana-mana skim pelaburan emas, tanya diri terlebih dahulu lima soalan asas ini:
1 - Adakah syarikat itu berlesen di bawah Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara Malaysia?
2 - Siapakah Penasihat Syariahnya dan adakah namanya boleh disahkan secara terbuka?
3 - Apakah perniagaan sebenar yang menjana pulangan daripada pelaburan ini?
4 - Adakah pulangan berbentuk nisbah peratusan untung ataupun jumlah tetap?
5 - Jika syarikat gulung tikar, dokumen apa yang melindungi pemilikan ke atas emas itu?
"Sekiranya ada walaupun satu soalan yang tidak dapat dijawab dengan jelas dan bertulis, itu sudah cukup sebagai isyarat untuk berundur dan menjauhkan diri daripadanya," jelasnya.
Ujarnya lagi, dalam dunia kewangan hari ini, perkara syubhah (meragukan) sering datang dalam bungkusan istilah bahasa Arab yang indah, tetapi nama akad bukan jaminan kepatuhan syariah dan struktur akadlah yang menentukan.
"Suburkan ilmu, jauhi kedangkalan. Semoga emas kita bukan sekadar selamat di tangan dunia, tetapi juga selamat di hadapan mahkamah akhirat," pesannya.