'Cukuplah guna fitnah nak takutkan pengundi Melayu' - Chun Weng

Iklan
Chung Weng (tengah) membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin UMNO Rembau yang mendakwa Istana Negeri Sembilan dipegang oleh DAP.

SEREMBAN - DAP menegaskan parti itu tidak pernah campur tangan dalam Institusi Diraja Negeri Sembilan, malah menghormati dan menjunjung tinggi Undang-Undang Tubuh Kerajaan (UUTK) negeri itu.

Setiausaha Publisiti DAP Negeri Sembilan, Lim Chun Weng berkata, pihaknya kesal apabila parti berkenaan sering dijadikan sasaran dengan pelbagai tuduhan setiap kali pilihan raya.

Iklan
Iklan

"Pendirian kami konsisten iaitu menghormati dan menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan selain menghormati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) di sini pada Isnin.

Beliau turut menasihatkan kepada semua pemimpin parti politik khususnya UMNO untuk menghentikan perbuatan memfitnah DAP dengan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Iklan

Ujarnya, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, sepatutnya mereka mengeluarkan kenyataan berasaskan fakta, bukannya persepsi yang direka.

"Saya ingin menyampaikan satu mesej kepada pemimpin-pemimpin UMNO, cukuplah menggunakan fitnah untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.

Iklan

"Negeri Sembilan selama ini dikenali sebagai sebuah negeri yang aman dan harmoni. Jika ingin berkempen, marilah kita bersaing secara sihat, bersainglah dengan dasar, rekod pentadbiran dan idea untuk rakyat, bukannya menyebarkan fitnah serta memainkan sentimen 3R," katanya.

Chung Weng turut menegur kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa kononnya Anthony Loke bakal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun kalah dalam pilihan raya kali ini.

Tegasnya, kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah menunjukkan kejahilan terhadap UUTK Negeri Sembilan yang menetapkan syarat pelantikan Menteri Besar.

"Kini, Ketua Penerangan UMNO Rembau, Shukri Shamsuddin pula membuat dakwaan bahawa DAP 'memegang' atau mengawal institusi Istana.

"Ini adalah satu tuduhan yang jahat dan tidak bertanggungjawab. Lebih membimbangkan, kenyataan seperti ini dibuat ketika negeri sedang berdepan isu yang melibatkan institusi adat," katanya.

Tambahnya, tidak sepatutnya isu tersebut dijadikan modal kempen politik bagi meraih sokongan kerana hanya mengeruhkan keadaan dan mencetuskan spekulasi yang tidak berasas.

Susulan itu katanya, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara terbabit supaya siasatan dijalankan.

"Saya menyeru kepada semua hentikan politik fitnah ini, sudah cukuplah. Tak perlu menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan mengatakan jika Pakatan Harapan menang, Melayu akan hilang kuasa.

"Kita sudah lapan tahun memerintah Negeri Sembilan dan rakyat negeri ini hidup dalam suasana aman dan harmoni," katanya.

Sebelum ini tular video seorang pemimpin UMNO Rembau yang mendakwa Istana Negeri Sembilan telah dipegang oleh DAP.