PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diarahkan untuk terus mengekalkan momentum operasi penguatkuasaan terhadap pendatang asing yang melanggar Akta Imigresen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang terbuka, namun setiap warga asing yang memasuki negara ini perlu mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
"Mereka yang masuk ke negara ini mesti patuh Akta Imigresen. Jangan salah guna pas. Kalau kita temui pelanggaran, mereka terpaksa dibawa ke depot.
"Jangan kurangkan momentum serbuan. Negara kita terbuka, tetapi kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Isnin.
Menurut beliau, penguatkuasaan yang dipertingkatkan turut memberi cabaran kepada kerajaan, khususnya dalam pengurusan depot imigresen.
"Tak mudah uruskan depot. Lagi kuat kita buat penguatkuasaan, lagi banyak kes kita temui dan depot kita menempatkan lebih ramai tahanan.
"Di satu sisi, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) melihat isu kesesakan depot dan membangkitkan soal nilai kemanusiaan. Di satu sisi lagi, kita perlu meneruskan penguatkuasaan undang-undang," jelasnya.
Ujar beliau, keadaan itu menggambarkan cabaran yang perlu diimbangi kementerian dalam memastikan undang-undang terus dikuatkuasakan, di samping mengambil kira aspek kebajikan dan kemanusiaan.
Saifuddin Nasution berkata, penguatkuasaan imigresen akan terus dilaksanakan selaras tanggungjawab KDN menjaga keselamatan negara serta memastikan setiap individu yang berada di Malaysia mematuhi undang-undang negara.