KUANTAN - Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang membuat laporan polis berhubung kewujudan akaun palsu menggunakan nama serta gambar beliau di Facebook.
Laporan dibuat di Balai Polis Kuantan di sini kira-kira jam 4.30 petang pada Ahad.
Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum berkata, kewujudan akaun Facebook palsu itu disedari selepas dimaklum rakan ketika berada di Linggi, Port Dickson bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 24 Julai lalu.
"Akaun berkenaan bukan milik saya dan saya tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama, gambar atau identiti saya bagi apa-apa tujuan.
"Saya turut mendapati akaun Facebook palsu tersebut telah berkongsi beberapa hantaran daripada halaman rasmi sejak kebelakangan ini sehingga mengelirukan orang ramai," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau turut mendakwa menerima bukti akaun Facabook palsu tersebut telah mula menghantar pesanan secara peribadi kepada orang ramai dengan menggunakan nama dan identitinya.
"Pengendali akaun tersebut juga didapati telah menghubungi beberapa individu dan memulakan perbualan seolah-olah diri saya.
"Perkara ini amat membimbangkan kerana ada kemungkinan identiti saya boleh disalahgunakan untuk tujuan penipuan, memperdaya orang ramai, mendapatkan maklumat peribadi atau sebarang aktiviti lain yang menyalahi undang-undang," katanya.
Justeru, beliau memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap individu yang bertanggungjawab mewujudkan dan mengendalikan akaun Facebook palsu tersebut serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Laporan ini dibuat bagi melindungi nama baik dan reputasi saya serta mengelakkan orang ramai daripada terus terperdaya atau menjadi mangsa penyamaran dan penipuan," katanya.
Chon Siang turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan hanya merujuk kepada akaun Facebook rasmi bagi mendapatkan sebarang maklumat atau urusan berkaitan.