KUALA TERENGGANU - Seorang kontraktor elektrik lelaki kerugian sebanyak RM152,550.00, selepas diperdaya sindiket tawaran tender tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pada 14 Julai lepas, mangsa yang berusia 68 tahun telah menerima e-mel yang menawarkan projek pemasangan lampu solar di Kampung Tanjung Baharu, Hulu Terengganu.
Beliau berkata, mangsa yang berminat kemudiannya menghubungi suspek lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), untuk mendapatkan maklumat melalui aplikasi WhatsApp.
"Suspek yang memperkenalkan diri sebagai Nik Sharil, telah meminta maklumat syarikat mangsa kononnya untuk semakan dan pendaftaran sebelum diluluskan.
"Suspek memaklumkan mangsa telah berjaya mendapat tender membekalkan tiga unit alat janakuasa yang berharga RM50,850 untuk kegunaan KPKT Putrajaya dan perlu membuat bayaran dengan segera pada 22 Julai lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, pada keesokan hari suspek menghubungi mangsa dan mengarahkannya membuat tambahan bayaran sebanyak RM101,700, untuk pembelian tambahan enam unit alat janakuasa.
Beliau berkata, suspek juga berjanji untuk memberi pulangan keuntungan projek sebanyak RM252,000 dalam tempoh enam hari, bagi meyakinkan mangsa.
"Mangsa menyedari ditipu setelah mendapat penerangan daripada juru audit yang dia selalu berurusan. Usaha menghubungi suspek untuk mendapatkan penjelasan juga gagal.
"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 2 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. - Bernama