Dua remaja perempuan maut dalam nahas 3 kenderaan

Iklan
Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam.

IPOH - Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 6.35 petang.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

"Akibat kemalangan tersebut, dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 28 tahun itu serta seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat, telah di hantar ke hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, pemandu kereta tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

"Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama