Buli itu salah, mengapa masih berulang?

Iklan
Usaha membanteras buli tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman. - Gambar hiasan

SETIAP kali video buli tular, kemarahan masyarakat kembali memuncak. Pelaku dikecam, mangsa dibela, pihak berkuasa berjanji bertindak tegas dan hukuman akhirnya dijatuhkan. Namun, apabila perhatian mula beralih kepada isu lain, muncul pula kes baharu yang mengulangi skrip sama.

Persoalannya, mengapa buli terus berulang sedangkan semua orang sudah tahu perbuatan itu salah?

Iklan
Iklan

Jawapan paling mudah ialah kerana kita sering menganggap kesedaran sudah mencukupi untuk mengubah tingkah laku seseorang. Hakikatnya, mengetahui buli itu salah tidak semestinya menghalang seseorang daripada melakukannya.

Ramai beranggapan liputan meluas mengenai hukuman menimbulkan rasa takut dalam kalangan pelajar. Namun dalam kebanyakan situasi, pelaku tidak berfikir tentang tindakan disiplin atau implikasi undang-undang ketika mereka membuli.

Iklan

Pada saat itu, yang lebih menguasai fikiran mereka ialah keinginan dilihat berani, diterima oleh kumpulan atau menunjukkan siapa lebih berkuasa. Di sinilah letaknya perbezaan antara mengetahui dan memahami. Seseorang mungkin tahu perbuatannya salah, tetapi jika nilai empati tidak pernah benar-benar diterapkan, kesedaran itu hanya menjadi maklumat, bukannya benteng yang menghalang perlakuan tersebut.

Fenomena itu turut menjelaskan mengapa ramai saksi memilih tidak campur tangan. Ada takut menjadi sasaran seterusnya, manakala ada juga menganggap bukan urusan mereka. Akibatnya, pelaku merasakan tindakan diterima, malah ada memperoleh sokongan rakan-rakan.

Iklan

Dalam keadaan sebegitu, buli tidak lagi dilakukan seorang individu semata-mata, tetapi disokong suasana yang membiarkannya ia berlaku. Kemajuan teknologi pula mengubah cara buli dilakukan. Jika dahulu kejadian seperti ini lazimnya berlaku tanpa pengetahuan ramai, kini telefon pintar dan media sosial menjadikan setiap insiden berpotensi menjadi tontonan umum.

Ironinya, kehadiran kamera yang sepatutnya menjadi bukti menghentikan perlakuan itu kadangkala bertukar menjadi pemangkin. Ada yang sanggup merakam kerana mahukan perhatian, manakala pelaku pula bertindak lebih agresif kerana sedar mereka sedang diperhatikan.

Inilah cabaran terbesar era digital. Teknologi bukan punca kepada buli, tetapi teknologi memberi pentas yang lebih luas untuk perlakuan itu dipertontonkan. Apabila jumlah tontonan, perkongsian dan perhatian menjadi ukuran, sesetengah individu melihat penghinaan terhadap orang lain cara paling mudah mencuri perhatian.

Atas sebab itu, usaha membanteras buli tidak boleh hanya bergantung kepada hukuman. Hukuman penting sebagai tanda masyarakat tidak berkompromi dengan keganasan. Namun, hukuman hanya menyelesaikan satu kes, bukannya budaya yang melahirkan kes tersebut.

Selagi nilai hormat, empati dan tanggungjawab terhadap orang lain tidak dipupuk konsisten di rumah, di sekolah dan dalam masyarakat, akan sentiasa ada individu baharu mengulangi kesilapan sama.

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya mengapa masih ada yang membuli walaupun mereka tahu akibatnya. Sebaliknya, kita perlu bertanya sama ada kita benar-benar sedang membina sebuah masyarakat yang menjadikan rasa hormat, empati dan keberanian mempertahankan orang lain sebagai satu budaya.

*Nurezzatul Aqmar Mustaza ialah wartawan Lifestyle Pop Family