'BN hak kami, PH mahu kerjasama lain, hak mereka' - Akmal Saleh

Iklan
Muhamad Akmal melayani permintaan penyokong BN di Program Santai Ngoca Sawah di Sungai Serai, Semerbok pada Ahad.

REMBAU – Barisan Nasional (BN) berhak menentukan bentuk kerjasama politiknya sendiri tanpa perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan BN bekerjasama dengan parti lain dalam situasi tertentu tidak seharusnya dianggap sebagai tidak menghormati rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, situasi politik di Sabah menunjukkan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan juga pernah bertanding menentang sesama sendiri.

“Apa yang dikatakan tidak hormat? Saya mahu tahu apa yang tidak hormat sedangkan di Sabah, Warisan berada dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi Warisan juga melawan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Iklan

“Jadi, dalam politik saya rasa tidak ada salahnya,” katanya selepas Program Santai Ngoca Sawah di Sungai Serai, Semerbok di sini pada Ahad.

Program itu diadakan bagi memberi sokongan kepada calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Suhaimi Aini.

Iklan

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; ADUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Ahli Parlimen Alor Setar yang juga Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, tidak terdapat sebarang persefahaman politik yang menetapkan BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai pendirian sama.

“Perlu diketahui bahawa antara BN dan PH tidak ada satu pun persefahaman yang menetapkan persamaan politik.

“BN adalah hak kami. Kalau PH mahu bekerjasama dengan pihak lain, itu hak mereka,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada situasi di Sabah apabila UMNO dan BN membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun PH memilih pendekatan berbeza.

“Sama juga di Sabah. UMNO dan BN membuat ketetapan tidak mahu bersama GRS ketika itu, tetapi PH pula bersama mereka. Jadi, jangan salahkan kami. Kamu buat boleh, takkan kami buat tidak boleh pula,” katanya.