SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) mencabar mana-mana pihak yang mendakwa parti itu melakukan perbuatan merosakkan bahan kempen lawan supaya mengemukakan bukti, bukannya membuat tuduhan tanpa asas.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebarang dakwaan berhubung perbuatan itu perlu disertakan dengan bukti bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
"Buktikanlah kalau UMNO yang melakukan segala sabotaj dan merosakkan bendera mereka, tentunya dah ditangkap atau diambil tindakan.
"Kita ada undang-undang dan sepanjang tempoh berkempen ada polis serta pasukan Suruhanjaya Pilihan Raya yang membuat pemantauan," katanya pada program 'Nogori Beradat, Kito Muafakat' yang dianjurkan Muafakat Nasional di sini pada Ahad.
Menurut beliau, jentera BN tidak mempunyai sebab untuk melakukan perbuatan sedemikian kerana mereka kini lebih memberi tumpuan kepada usaha mendekati rakyat dan menggerakkan jentera bagi menghadapi hari pengundian.
Malah calon Dewan Undangan Negeri(DUN) Pertang itu memaklumkan, setakat ini pihaknya tidak menerima maklumat perkara sama berlaku kepada parti terbabit.
"Saya sendiri balik rumah pun tidak menentu. Jadi saya ingat, rosakkan bendera ini memang tak terfikir langsung oleh kita," katanya.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan perbuatan berkenaan sengat diteruskan oleh pihak tertentu bagi menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Sebelum ini media melaporkan, polis menerima beberapa laporan berhubung perbuatan khianat terhadap bendera Pakatan Harapan(PH) di beberapa tempat.
Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataannya meluahkan rasa kesal berhubung kejadian berlaku serta menyeru agar perkara seumpama ini tidak melarat sekali gus menjadi budaya dalam kalangan penggiat politik dalam negara ini.