Keberanian sebenar adalah mempertahankan kebenaran - Ayob Khan

Iklan
Ayob Khan - Foto: Rosli Taib

KUALA LUMPUR – Keberanian menegakkan kebenaran tanpa gentar menjadi antara pesanan terakhir Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum menamatkan perkhidmatannya.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, keberanian sebenar bukan bermaksud seseorang itu tidak mempunyai rasa takut, sebaliknya tetap teguh mempertahankan perkara yang benar walaupun mengetahui terdapat harga yang perlu dibayar.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Ayob Khan umum bersara mulai Ahad ini

"Keberanian adalah apabila kita tetap berdiri mempertahankan perkara yang benar walaupun kita tahu terdapat harga yang perlu dibayar," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, Datuk Seri Ibrahim Darus memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa pada Ahad.

Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu bagi menggantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang bersara wajib.

Iklan

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Ayob berkata, sepanjang lebih 34 tahun berkhidmat dalam pasukan, beliau mempelajari bahawa seorang pegawai polis tidak boleh hanya memilih untuk melakukan perkara yang mudah atau disenangi ramai.

"Setiap anggota perlu berani membuat keputusan yang betul demi mempertahankan undang-undang dan keadilan," katanya.

Tegas beliau, seluruh warga PDRM perlu terus memelihara nama baik pasukan yang dibina hasil pengorbanan anggota terdahulu tanpa ada penindasan dalam pasukan.

"Jagalah pasukan dan seragam ini. Jagalah nama baik institusi yang telah dibina dengan darah, keringat dan nyawa rakan-rakan kita yang terdahulu," katanya.

Dalam pada itu, Ayob mengingatkan seluruh warga PDRM supaya terus mempertahankan integriti.

"Jangan pernah berhenti melakukan perkara yang betul kerana ALLAH SWT melihat setiap pengorbanan serta mengetahui setiap niat dan tidak pernah mensia-siakan amal yang dilakukan dengan ikhlas," ujarnya.