GUA MUSANG – “Alhamdulillah, abang Ngah ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian dan masih memakai beg silangnya.”
Demikian luahan ibu kepada mangsa bot terbalik di Sungai Galas, Kampung Batu 6 di sini selepas jasad anaknya, Mohd Ilham Che Mat Satar, 27, ditemukan di tepi sungai itu pada tengah hari Khamis.
Rozita Ramli, 47, berkata, dia bersyukur apabila anak kedua daripada lima beradik itu akhirnya ditemukan dalam keadaan sempurna selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak Isnin.
“Pihak masjid juga ada melakukan solat hajat agar usaha pencarian dipermudahkan.
“Saya bersama-sama isteri arwah, Nor Aida Sazliza Razali, 25, serta ahli keluarga lain turut menaiki bot ke lokasi dia ditemukan dan dapat melihat sendiri keadaannya ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Gua Musang pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya terbalik di Sungai Galas pada Isnin lalu ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi botnya dijumpai oleh pasukan SAR.
Menurutnya, mangsa berjaya ditemukan pada jam 1 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis pada jam 1.53 petang.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi SAR yang bermula sejak Isnin itu turut melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang dan Dabong, Unit Anjing Pengesan (K9), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Dalam pada itu, Rozita turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan operasi pencarian sehingga jasad anaknya berjaya ditemukan. - Bernama