Kenyataan Sanusi: Isu kaum hiris perasaan, tak jejas undi — Mohd Sharkar

Iklan
Mohd Shahkar

KUANTAN – Kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyentuh isu kaum mungkin memberi kesan daripada sudut emosi, tetapi tidak semestinya mempengaruhi corak pengundian di Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pandangan yang dikeluarkan Menteri Besar Kedah itu tetap menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.

Iklan
Iklan

"Jadi ia mungkin sedikit sebanyak ada kesan dari segi perasaan..tapi kesan itu tidak semestinya kepada undi kerana kita tidak tahu apa perasaan sebenar pengundi di sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota kali ke-23 di Dewan Atabara Indera Mahkota di sini pada Ahad.

Iklan

Mohd Shahkar merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota kali ke-23 di Dewan Atabara Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua UMNO Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal dan seluruh perwakilan kawasan tersebut.

Iklan

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu perkauman, di mana beliau menyatakan selain orang Melayu kaum lain seperti Cina dan India masing-masing mempunyai negara asal mereka sendiri.

Kenyataan itu mencetuskan rasa kurang senang pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai satu cubaan memainkan sentimen kaum dan memecahbelahkan keharmonian rakyat majmuk.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar mendakwa reaksi yang timbul berhubung kenyataan itu lebih banyak dipengaruhi oleh pemimpin luar kawasan.

"Yang menjawab semuanya pemimpin dan mereka tidak mengundi di sana (Negeri Sembilan) dan jadi orang di sana, kita tidak tahu apa perasaan mereka," ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak terkejut dengan kenyataan tersebut memandangkan ia selari dengan pendekatan yang sering dibawakan Menteri Besar Kedah berkenaan.

"Saya tak pernah hairanlah kalau itu daripada Sanusi tapi tang saya hairan kalau benda itu tak keluar daripada beliau.

"Kalau perkara itu keluar daripada Sanusi, ia cuma satu lagi kenyataan biasa daripadanya. Sanusi memang begitu, dia memang akan mengeluarkan kenyataan yang pelik-pelik," katanya.

Menurut Mohd Sharkar, setiap pemimpin mempunyai pendekatan tersendiri untuk meraih populariti.

"Itu gaya beliau, masing-masing ada cara sendiri untuk menarik perhatian pengundi. Namun, itu sekadar persepsi," katanya.