SHAH ALAM - Minat mendalam terhadap filem Hindustan sejak kecil menjadi pencetus idea kreatif seorang usahawan dari Pasir Mas, Kelantan menghasilkan video promosi ala Bollywood dalam hujan sehingga berjaya menarik perhatian ramai di media sosial, sekali gus meningkatkan jualan akok yang diusahakannya.
Pengusaha akok, Mohd Amirul Hafiz Ismail, 32, berkata, idea menghasilkan video berkonsepkan Bollywood tercetus daripada hobinya terhadap videografi dan filem Hindustan yang telah sebati dalam keluarganya sejak kecil.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya menghasilkan video yang memaparkan pemandangan dan elemen alam tanpa menonjolkan dirinya, namun tahun ini dia memberanikan diri muncul di hadapan kamera.
"Saya memang minat tengok cerita Hindustan sejak kecil. Daripada situlah datang inspirasi untuk hasilkan video. Dulu saya cuma letak gambar pemandangan atau pokok dengan lagu Hindustan, tak tunjuk muka pun.
"Tahun ini baru saya cuba beranikan diri muncul dalam video dan tak sangka ia mendapat sambutan yang sangat baik," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, video dikongsikan Mohd Amirul Hafiz menerusi akaun Tik Tok Akok Khadijah mendapat perhatian dengan video bersama daun pandan mencecah 1.7 juta tontonan dengan 86,100 tanda suka, manakala video sambil memegang telur mencapai 1.6 juta tontonan dengn 69,600 tanda suka.
Usahawan tersebut memberitahu, semua video dihasilkan sendiri tanpa bantuan kru, termasuk proses rakaman dan suntingan.
"Saya buat seorang diri. Guna tripod, rakam sendiri, kalau tak jadi saya ulang semula. Lepas itu baru pilih babak yang sesuai untuk disunting mengikut lagu.
"Kebanyakan video dirakam ketika hujan kerana suasana itu lebih memberi nilai sinematik," katanya.
Menurutnya, walaupun video tersebut bertujuan mempromosikan perniagaan, dia menganggap proses pembikinannya sebagai satu pengorbanan kerana perlu meredah hujan demi mendapatkan hasil rakaman yang diinginkan.
"Alhamdulillah, setakat ini tak pernah demam walaupun banyak kali merakam video ketika hujan," katanya.
Beliau berkata, apa yang lebih menggembirakan ialah video berkenaan bukan mempromosikan produk secara langsung, sebaliknya hanya bertujuan menarik perhatian orang ramai.
"Dalam video itu sebenarnya kami langsung tak tunjuk akok. Kami cuma nak timbulkan rasa ingin tahu orang ramai. Bila mereka tertarik dengan video, barulah mereka mencari produk kami," katanya.
Menurut Mohd Amirul Hafiz yang memulakan perniagaan pada 2024 berkata, sehingga kini dia hanya menjual satu perisa iaitu akok pandan bagi memastikan kualiti produk sentiasa terjaga.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana permintaan yang semakin tinggi menyebabkan mereka mahu memberi fokus kepada produk utama berbanding menambah variasi perisa.
"Kami jual enam biji akok pada harga RM5. Bagi tempahan kenduri, harga lebih murah iaitu sekitar 80 sen sebiji untuk tempahan 100 biji ke atas," katanya.
Menurutnya, kini perniagaan akok beroperasi di tiga cawangan iaitu di Salor, Kangkong dan Kota Bharu dengan tugasannya setiap pagi ialah menyediakan dan menghantar bancuhan adunan ke semua cawangan sebelum kakitangan membakar akok di premis masing-masing.
Kongsinya lagi sebelum videonya tular, tiga cawangan itu menjual kira-kira 2,000 biji akok sehari pada hari biasa, manakala ketika cuti sekolah atau cuti umum jumlah jualan boleh mencecah antara 3,000 hingga 4,000 biji sehari.
"Alhamdulillah, selepas video tular ketiga-tiga cawangan mencatatkan peningkatan jualan. Nampaknya mesej yang kami nak sampaikan melalui video itu sampai kepada orang ramai," katanya.