PRN Negeri Sembilan: PN tawar manifesto tambahan, pelengkap komitmen bersama BN

Iklan
Ahmad Samsuri (tiga dari kanan) bersama Barisan kepimpinan PN menunjukkan manifesto PN dalam PRN Negeri Sembilan

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) mengemukakan 14 tawaran tambahan dengan memberi tumpuan kepada enam teras dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Manifesto bertemakan 'PN Sepakat Hebatkan Negeri Sembilan' itu menggariskan pelbagai inisiatif utama iaitu pentadbiran, kebajikan, pendidikan, belia dan keluarga, ekonomi serta pekerjaan.

Iklan
Iklan

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran tersebut sebagai pelengkap komitmen bersama dengan Barisan Nasional(BN) untuk membina sebuah Negeri Sembilan yang lebih maju, makmur dan sejahtera.

"Ia wujud sebagai manifesto bersama dan saya percaya dalam manifesto BN telah memperincikan pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan sekiranya PN-BN diberi amanah dalam 1 Ogos nanti.

Iklan

Menurut beliau, bagi teras pentadbiran, PN menawarkan pembangunan papan pemuka (dashboard) pelaksanaan Manifesto Negeri Sembilan selain menambah baik Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Masjid yang lebih mesra kariah.

Jelasnya, bawah teras kebajikan, gabungan itu berjanji menyalurkan Bantuan Prihatin Rakyat yang menyasarkan keluarga B40 dan M40 berkomitmen tinggi serta berpendapatan rendah.

Iklan

"Turut ditawarkan ialah penyaluran dana sokongan khas bagi kebajikan dan hal ehwal bukan Islam.

"Menerusi teras belia dan keluarga, PN mencadangkan penyediaan Rumah Transit Belia untuk graduan serta pasangan baharu berkahwin, selain melaksanakan Program Pemerkasaan Keluarga Mawaddah," katanya.

Selain itu, bagi teras pendidikan, manifesto terbabit menggariskan hasrat menaik taraf Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) menjadi institusi berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan gunaan (applied education), penyelidikan industri serta inovasi.

Tambahnya, PN turut menawarkan pemerkasaan Sekretariat TVET Negeri melalui Program Tahfiz TVET dan pemberian bantuan persijilan profesional kepada graduan Negeri Sembilan.

"Dalam teras ekonomi, PN mencadangkan penerokaan dan pembangunan Pelan Ekonomi Biru Negeri Sembilan, menaik taraf infrastruktur sokongan industri minyak dan gas serta membangunkan pakej pelaburan baharu dalam sektor mineral kritikal, semikonduktor, aeroangkasa, kenderaan elektrik (EV), logistik dan ekonomi digital.

"Bagi teras pekerjaan, manifesto berkenaan mencadangkan penubuhan Negeri Sembilan Talent Corporation (NTC) sebagai pusat pembangunan bakat dan kepakaran masa depan dalam bidang teknologi hijau, semikonduktor, keselamatan siber, ekonomi digital serta automasi termaju," katanya.

Ahmad Samsuri berkata, PN juga akan menubuhkan Pusat Padanan Pekerjaan Negeri Sembilan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor pelancongan dan industri baharu.