KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan baik selepas menjalani prosedur angiogram koronari di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada Sabtu dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor yang merawat.
Peguamcara Najib, Tetuan Shafee & Co berkata, prosedur angiogram koronari yang dijalani bekas Ahli Parlimen Pekan itu mendapati penyumbatan pada salur darah koronari beliau boleh dikawal tanpa memerlukan prosedur angioplasti belon atau pemasangan stent.
“Setelah angiogram koronari dan penilaian menyeluruh selesai dijalankan hari ini, pakar-pakar yang merawat mendapati bahawa baik angioplasti belon mahupun pemasangan stent tidak diperlukan.
“Sebaliknya, penyumbatan tersebut boleh dikawal secara berkesan melalui ubat-ubatan, pemantauan perubatan berterusan dan rawatan susulan. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH SWT Najib kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor yang merawat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook Najib.
Kenyataan itu berkata, sebelum ini, berdasarkan siri penilaian perubatan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu, pihak doktor mengesan terdapat penyumbatan pada salur darah koronari yang memerlukan penilaian lanjut melalui angiogram koronari.
Menurutnya, pasukan perubatan sebelum ini juga menasihatkan terdapat kebarangkalian dianggarkan sebanyak 95 peratus bahawa Najib memerlukan intervensi lanjut dalam bentuk angioplasti belon dan atau pemasangan stent.
“Keputusan untuk meneruskan prosedur hari ini dibuat sepenuhnya berasaskan keperluan perubatan dan penemuan klinikal yang ada pada ketika itu.
“Memandangkan kebarangkalian yang tinggi bahawa intervensi lanjut akan diperlukan, kebimbangan terhadap prosedur tersebut adalah nyata dan berasas,” katanya.
Katanya, pihak keluarga turut merakamkan penghargaan kepada para pakar kardiologi, pakar kardiotorasik, jururawat serta seluruh pasukan perubatan di Pusat Kardiotorasik dan Kardiologi, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang atas profesionalisme, kepakaran serta penjagaan diberikan sepanjang proses rawatan.
“Pihak keluarga turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyampaikan doa, sokongan dan ucapan keprihatinan susulan prosedur perubatan yang dijalani Najib,” ujarnya.