Kerajaan akan tubuh jawatankuasa Kabinet perkasa produk tempatan - Armizan

Iklan
Armizan. Foto Bernama

SANDAKAN - Sebuah jawatankuasa Kabinet akan ditubuhkan bagi memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan sekali gus memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu yang dipersetujui semasa mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lepas bakal memperkemas hala tuju, dasar dan strategi bagi merancakkan agenda promosi serta nilai jualan domestik serta eksport produk tempatan termasuk mengurangkan kebergantungan import.

Iklan
Iklan

"Jawatankuasa Kabinet ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak sebagai urus setia,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Festival Jom Malaysia di sini pada Sabtu.

Armizan berkata, KPDN mengalu-alukan keputusan jemaah menteri itu dan akan segera memperhalusi terma rujukan termasuk menetapkan mesyuarat.

Iklan

Selain itu, katanya, pihaknya juga sedang memperhalusi agensi yang akan terlibat dalam jawatankuasa itu seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perladangan dan Komoditi termasuk kementerian yang pemegang kepentingannya terkait penghasilan produk tempatan, selain Kementerian Ekonomi yang berperanan sebagai agensi pusat menentukan hala tuju dan dasar ekonomi negara.

Beliau berkata, KPDN yakin penubuhan jawatankuasa Kabinet itu dapat memperkukuh gerakan Jom Malaysia yang dilaksanakan berdasarkan empat teras transformasi iaitu gerakan nasional, pendekatan keseluruhan negara, keterangkuman produk serta memperluas pasaran.

Iklan

Mengenai Festival Jom Malaysia, Armizan berkata, program yang berlangsung selama tiga hari berakhir esok itu merupakan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menggerakkan agenda serta mencapai objektif melonjakkan promosi penggunaan serta pembelian produk tempatan.

Festival itu menghimpunkan lebih 100 usahawan tempatan, pemain industri dan rakan strategik dalam satu platform Jom Malaysia dengan pelbagai aktiviti jualan, jaringan perniagaan termasuk pameran informatif kerajaan diadakan, katanya. - Bernama