Cubaan dua lelaki lolos pemeriksaan polis jerat diri

Iklan
Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka yang tular ketika suspek cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.

PETALING JAYA - Dua lelaki yang memiliki banyak rekod jenayah dan dadah dicekup selepas memecut laju kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina ketika pemeriksaan polis di Persiaran Dagang, Sri Damansara di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, laporan insiden itu diterima pihaknya pada jam 11.57 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Grand Livina terbabit dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum dikesan di kawasan Jalan Sungai Pusu, Gombak.

"Semasa anggota kereta peronda polis cuba membuat tangkapan, suspek telah bertindak agresif dengan mengundur kenderaan dan melanggar kereta polis.

Iklan

"Suspek kemudian melarikan diri semula serta melanggar dua kenderaan awam yang diparkir di tepi jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, polis kemudian berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an merupakan pemandu dan penumpang Nissan Grand Livina terbabit.

Iklan

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu melulu.

"Semakan mendapati suspek pertama mempunyai 23 rekod dadah, empat rekod jenayah dan satu dikehendaki, manakala suspek kedua mempunyai lapan rekod dadah, 10 rekod jenayah dan enam lain-lain kesalahan," ujarnya.

Kata beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak tepat dalam media sosial dan tidak membuat spekulasi tidak benar berkenaan insiden terbabit.

"Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan kes," ujarnya.