PUTATAN - Kira-kira 1,200 penduduk di sebuah kondominium di sini terus berdepan masalah bekalan air sehingga ada yang terpaksa berpindah sementara menumpang di rumah ahli keluarga atau menginap di hotel bagi meneruskan kehidupan harian.
Penduduk, Sarjit Ramday, 76, mendakwa masalah bekalan air di kawasan kondominium itu tidak pernah selesai sejak beliau berpindah masuk hampir dua tahun lalu.
"Sejak saya berpindah ke sini hampir dua tahun lalu, masalah bekalan air tidak pernah selesai, malah semakin teruk.
"Ada penduduk yang terpaksa menginap di hotel, manakala saya sendiri terpaksa tinggal di rumah anak kerana bekalan air langsung tiada dan kami tidak boleh tinggal di sini," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, ketika membeli kediaman itu, penduduk dimaklumkan projek pam air Kasigui Kogopon dijangka siap pada penghujung 2024 dan masalah bekalan air akan berakhir mulai Januari 2025, namun keadaan yang dijanjikan masih belum menjadi kenyataan.
"Kini kami dimaklumkan pula bekalan air akan disalurkan dari sebuah loji di Papar, tetapi kami hanya mampu menunggu dan melihat.
"Apa yang menjadi persoalan ialah sama ada bekalan itu benar-benar mencukupi kerana pembangunan baharu semakin pesat dari sini hingga ke Papar dan semuanya memerlukan air," katanya.
Menurutnya, kawasan perumahan itu mempunyai lebih 500 unit kediaman di empat blok dengan anggaran lebih 1,200 penduduk, justeru beliau mempersoalkan mengapa masalah bekalan air masih berlarutan walaupun pelbagai projek pembangunan terus dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Seorang lagi penduduk, Amyrul Nashrin, 36, berkata, krisis bekalan air itu bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian, malah membebankan penduduk apabila mereka terpaksa menanggung pelbagai kos tambahan termasuk membeli air bersih dan membayar bil air pada kadar yang lebih tinggi.
"Kami dikenakan caj bil air RM7.50 bagi setiap meter padu berbanding kadar biasa sekitar RM1.30.
"Dalam masa sama, kami juga terpaksa membeli air untuk kegunaan harian. Bagi keluarga saya yang mempunyai empat orang, kami menggunakan kira-kira dua karton air sehari dengan kos sekitar RM20 sehari atau lebih kurang RM140 seminggu.
"Itu belum termasuk kos tambahan lain seperti ada penduduk yang terpaksa menginap di hotel atau pulang ke rumah keluarga kerana ketiadaan bekalan air," katanya.
Beliau turut mempersoalkan kualiti air yang dihantar menggunakan lori tangki kerana didakwa tidak bersih dan dikhuatiri memberi kesan kepada kesihatan penduduk, terutama kanak-kanak.
"Kami bukan sekadar mahukan bekalan air, tetapi air yang bersih. Air yang dihantar itu ada mendapan dan pasir sehingga ada penduduk mengadu mengalami masalah kulit, ruam, gatal-gatal serta iritasi mata.
"Malah, pasir dalam air juga boleh merosakkan mesin basuh. Semua ini menambah lagi beban kewangan yang tidak sepatutnya kami tanggung," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, beliau telahpun mengadakan pertemuan dengan penduduk selepas menerima surat aduan mengenai masalah bekalan air tersebut dan seterusnya mendengar sendiri keluhan mereka serta mendapatkan penjelasan daripada agensi berkaitan.
"Beberapa bulan lalu, khususnya dari April hingga Mei, bekalan air di sini memang terlalu kritikal sehingga penduduk terpaksa membeli air daripada pembekal swasta. Ada yang dikenakan caj melebihi RM900 bagi satu trip lori dengan kadar RM7.50 bagi setiap meter padu.
"Perkara ini saya telah bangkitkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 21 Julai lalu dan meminta pegawai saya berhubung dengan Pegawai Daerah bagi mengadakan pertemuan bersama penduduk," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan diterimanya, bekalan air di kawasan berkenaan menunjukkan peningkatan sejak seminggu lalu susulan pelarasan injap paip oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) namun mengakui langkah itu hanya bersifat sementara.
"Mudah-mudahan dengan siapnya loji air di Papar yang dijangka beroperasi pada November ini serta naik taraf loji Kasigui, masalah bekalan air bukan sahaja di kawasan ini, malah di tempat lain dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
"Pada masa sama, saya akan berbincang dengan Pegawai Daerah, Majlis Daerah dan Ahli Parlimen, Datuk Ir Shahelmey Yahya bagi merancang pembangunan Putatan secara lebih tersusun supaya keperluan infrastruktur termasuk bekalan air dapat menampung pertambahan penduduk," katanya.