Iran pantas pulih pangkalan diserang AS - Israel

Iklan
Imej satelit menunjukkan pintu masuk terowong di sebuah kompleks peluru berpandu di Isfahan, tengah Iran, pada 27 Februari 2026. Foto Vantor/AFP

TEHERAN – Iran dilaporkan berjaya membina semula sebahagian besar infrastruktur ketenteraan yang musnah akibat serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel dalam tempoh beberapa bulan lalu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kempen pengeboman kedua-dua negara itu.

Menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik analisis imej satelit, usaha pembinaan semula sedang giat dijalankan di beberapa lokasi strategik termasuk pangkalan peluru berpandu, pelabuhan dan kemudahan pengeluaran senjata.

Iklan
Iklan

Laporan itu menyatakan kepantasan Teheran memulihkan aset ketenteraannya menjadi antara faktor Iran masih mampu meneruskan operasi ketenteraan selepas konflik dengan AS kembali memuncak awal bulan ini susulan pertikaian berkaitan Selat Hormuz.

Antara lokasi yang dikesan ialah sebuah pangkalan peluru berpandu di Kangavar, barat Iran.

Iklan

Imej satelit menunjukkan jalan masuk ke pangkalan itu yang rosak akibat serangan pada awal Mac telah diturap semula beberapa minggu kemudian, walaupun pintu masuknya turut tertimbus.

Imej lain turut menunjukkan kerja pembinaan semula sedang dijalankan di Pelabuhan Bandar Anzali yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Iklan

Israel sebelum ini mendakwa serangan pada Mac lalu menyebabkan kerosakan besar terhadap pusat pemerintahan IRGC serta limbungan kapal di kawasan tersebut.

WSJ turut melaporkan sebuah kilang pengeluaran peluru berpandu berhampiran Tehran juga sedang dibaik pulih berdasarkan imej satelit yang dirakam pada awal Julai.

Menurut laporan itu, beberapa pegawai tentera Israel mengakui perkembangan berkenaan menunjukkan Iran mampu memulihkan kemudahan strategiknya dengan pantas.

Seorang pegawai dilaporkan berpendapat Israel sepatutnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada sasaran ketenteraan berbanding kemudahan kerajaan bagi memaksimumkan impak serangan.

Seorang lagi pegawai pula mengakui Iran berupaya membina semula hampir semua kemudahan yang musnah.

Imej satelit daripada Planet Labs turut menunjukkan pangkalan peluru berpandu di Dezful yang diserang pada Jun 2025 dan sekali lagi pada Mac 2026 telah mula digali semula bagi membuka akses ke rangkaian terowong bawah tanah.

Penemuan itu mencetuskan persoalan terhadap dakwaan AS dan Israel mengenai tahap kemusnahan yang dialami Iran.

Selepas serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran tahun lalu, Presiden AS, Donald Trump, mendakwa tapak nuklear utama negara itu telah 'dimusnahkan sepenuhnya'.

Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Dan Caine pula sebelum ini berkata, lebih 1,500 sasaran pertahanan udara, 450 kemudahan penyimpanan peluru berpandu balistik dan 800 stor dron telah dimusnahkan dalam tempoh lima minggu pertama peperangan.

Beliau turut mendakwa kira-kira 90 peratus kilang pengeluaran senjata Iran dan hampir 80 peratus infrastruktur industri nuklear negara itu berjaya dilumpuhkan.

Tentera Israel (IDF) pula memaklumkan ia melancarkan lebih 1,000 gelombang serangan melibatkan lebih 4,000 sasaran ketenteraan di seluruh Iran serta menggugurkan lebih 18,000 butir bom sepanjang konflik.

Menurut IDF, sekitar 60 peratus daripada kira-kira 470 pelancar peluru berpandu balistik Iran berjaya dimusnahkan atau dilumpuhkan.

Bagaimanapun, laporan WSJ menyatakan keupayaan Iran membina semula kemudahan strategik dalam tempoh singkat menunjukkan kesan jangka panjang serangan tersebut mungkin tidak seteruk yang didakwa.

Konflik Iran-AS kembali memuncak selepas gencatan senjata yang dicapai pada April lalu runtuh awal Julai, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan.

Iran kini terus menyasarkan aset tentera AS di beberapa negara Teluk serta kapal yang melalui Selat Hormuz, manakala AS dan Israel meneruskan serangan terhadap sasaran ketenteraan Iran.- Agensi