JEMPOL - Projek naik taraf landasan kereta api Gemas–Mentakab Pakej A (Tender Semula) berjaya disiapkan, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha kerajaan memperkukuh rangkaian rel negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menaik taraf laluan kereta api Pantai Timur yang menghubungkan Gemas hingga Tumpat, Kelantan bagi menyediakan sistem pengangkutan rel yang lebih selamat, cekap, moden dan mampan.
"Projek ini yang lebih dikenali sebagai Projek Pakej A, pada asalnya telah dimulakan sejak Februari 2016 dengan tarikh asal penyiapan pada 20 Februari 2019.
"Bagaimanapun, kontraktor asal projek tidak berjaya menyiapkan projek tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan dan telah ditamatkan.
"Menyedari kepentingan projek ini kepada pembangunan infrastruktur rel negara dan kesinambungan laluan kereta api pantai timur, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk meneruskan pelaksanaan projek ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi memastikan baki kerja yang masih belum disiapkan dapat diselesaikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada program lawatan kerja projek siap bagi Projek Kerja-Kerja Pemulihan, Naik Taraf Landasan Kereta Api dan Kerja-Kerja Berkaitan di antara Gemas, Negeri Sembilan hingga Stesen Kereta Api Mentakab, Pahang di Stesen Kereta Api Bahau, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan selaku agensi pelaksana projek telah melaksanakan proses tender semula secara terbuka dengan tarikh milik tapak pada 8 November 2023.
Ujarnya, hasil daripada perancangan yang teliti, komitmen yang tinggi dan kerjasama erat daripada semua pihak terlibat, projek tersebut akhirnya berjaya disiapkan pada 19 Jun 2026 dengan nilai keseluruhan semasa projek RM41.7 juta.
"Kejayaan ini amat bermakna memandangkan pelaksanaan projek telah berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan fizikal di tapak.
"Ia termasuk isu pencerobohan serta keperluan untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan terhadap lintasan tidak sah atau illegal crossing, termasuk cow crossing.
"Projek ini merupakan sebahagian daripada pembangunan jajaran kereta api Pantai Timur yang dibahagikan kepada tiga pakej utama iaitu Pakej A (Gemas–Mentakab), Pakej B (Mentakab–Gua Musang) dan Pakej C (Gua Musang–Tumpat)," katanya.
Katanya, dengan siapnya Pakej A, kini kedua-dua Pakej A dan Pakej B telah disiapkan sepenuhnya, manakala Pakej C masih dalam pelaksanaan.
Dalam pada itu katanya, peningkatan kualiti infrastruktur landasan itu dapat menyokong kebolehpercayaan perkhidmatan rel serta mengurangkan risiko gangguan operasi yang berpunca daripada keadaan infrastruktur yang kurang memuaskan.
"Penambahbaikan ini juga akan membantu memastikan operasi perkhidmatan kereta api dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan efisien.
"Dari perspektif pembangunan wilayah, projek ini turut berpotensi meningkatkan keterhubungan antara Gemas, Negeri Sembilan dan Mentakab, Pahang serta kawasan-kawasan di sekitarnya.
"Ketersambungan rel yang lebih baik dapat menyokong pergerakan rakyat dan barangan, merangsang aktiviti ekonomi setempat serta menyumbang," katanya.
Sementara itu, Loke turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), JKR khususnya JKR Negeri Sembilan, Asia Communication & Electronic Sdn Bhd (Asiakom) dan semua pihak yang menjayakan pelaksanaan projek tersebut.
ADVERTORIAL