'Kami suka tinggal di sini, orang Malaysia baik' - Etnik Rohingya

Iklan
Etnik Rohingya yang ditahan semasa Ops Mega di sekitar Bandar Kota Bharu pada Jumaat.

KOTA BHARU -"Kami hendak pergi mana? Kami suka tinggal di sini, orang Malaysia baik-baik."

Demikian luahan seorang etnik Rohingya, Usman, 30, yang ditemui ketika Operasi Penguatkuasaan (Ops Mega) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Usman yang tinggal di Pasir Hor, Kubang Kerian merupakan antara 362 warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan.

Menurutnya, dia sudah menetap di Kelantan sejak 10 tahun lalu dan mempunyai dua anak, namun tidak tahu arah tujuan sekiranya diarahkan meninggalkan negara ini.

Iklan

"Kami tiada negara dan tahu ramai tidak suka kami. Kami semua bukan jahat, seorang etnik Rohingya jahat, semua dicop jahat," katanya.

Seramai 362 warga asing ditahan JIM Kelantan menerusi Ops Mega di sekitar Bandar Kota Bharu pada Jumaat.

Iklan

Usman yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, dia sering berkunjung ke Bandar Kota Bharu setiap Jumaat bagi membeli barangan makanan selepas menerima gaji pada Khamis.

Sementara itu, Ebdillah, 31, dari Kota Seribong berkata, dia sudah 12 tahun menetap di Kelantan dan mempunyai seorang anak.

Menurutnya, walaupun memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), hidupnya sentiasa dibelenggu ketakutan.

"Namun saya sentiasa bersyukur kerana orang tempatan baik-baik. Malaysia adalah negara yang selamat serta senang untuk cari rezeki.

"Kalau kena halau kami tidak tahu hendak ke mana. Kami cuma ingin hidup dan cari makan sahaja," katanya yang ditahan ketika datang ke Bandar Kota Bharu untuk membeli barangan dapur serta bertemu rakan-rakan.

Ebdillah yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM80 sehari berkata, sudah menjadi rutin mereka setiap hari Jumaat akan keluar ke Bandar Kota Bharu untuk membeli keperluan harian selain melihat kemeriahan pasar pagi di sini.

Dalam pada itu, Salman, 26, yang masih bujang berkata, dia sudah enam tahun menetap di Kelantan dan bekerja sebagai pembantu kedai.

"Saya bayar ejen RM3,000 untuk datang ke sini. Sebelum ini pernah bekerja di Selangor namun tinggal serta bekerja di Kelantan lebih seronok," katanya.