KUANTAN – Data pemantauan satelit Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menunjukkan dua ekor ibu penyu agar yang dipasang penjejak satelit di Pantai Cerating masih berada di sekitar perairan pantai itu.
Melalui data itu membolehkan corak pergerakan dan penggunaan habitat spesies berkenaan dipantau bagi menyokong pengurusan konservasi berasaskan bukti saintifik.
DOF berkata, pemantauan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penyelidikan penyu marin melalui penggunaan teknologi bagi membolehkan jabatan itu memperoleh maklumat mengenai pergerakan penyu selepas musim bertelur serta mengenal pasti habitat pentingnya.
Menurutnya, pemasangan penjejak satelit terhadap dua ekor ibu penyu yang mendarat untuk bertelur di Pantai Cerating dilaksanakan 5 Julai lalu menerusi kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia dan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang.
"Kedua-dua penyu tersebut kemudiannya dilepaskan semula ke habitat semula jadi dari Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cerating jam 6 petang, 8 Julai lalu.
"Penyu pertama dikenal pasti melalui tag MYC6603/MYC6604 seberat 116 kilogram yang direkodkan mendarat buat kali pertama pada 1 Julai dengan 140 biji telur sebelum kembali mendarat pada 12 Julai lalu dan menghasilkan 76 telur.
"Penyu kedua membawa tag MYC6601/MYC6602 seberat 159 kilogram mendarat pada 2 Julai dengan 112 biji telur dan sekali lagi pada 16 Julai dengan 82 biji telur," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, sistem penjejak satelit menghantar maklumat lokasi secara automatik ke satelit setiap empat jam apabila penyu timbul ke permukaan untuk bernafas.
Jelasnya, sehingga kini, salah seekor penyu telah direkodkan muncul ke permukaan sebanyak 18 kali, sekali gus membolehkan data lokasi dihantar secara berkala melalui sistem satelit.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hassan berkata, penggunaan teknologi penjejak satelit membolehkan jabatan mengumpulkan maklumat lapangan secara lebih sistematik bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu.
"Data yang diterima melalui penjejak satelit membolehkan Jabatan meneliti corak pergerakan, laluan migrasi dan penggunaan habitat penyu selepas musim bertelur.
"Maklumat itu menjadi asas penting dalam merancang langkah pengurusan dan konservasi spesies berkenaan secara lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata, maklumat yang diperoleh juga membantu mengenal pasti habitat penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha melindungi penyu, di samping memperkukuh penyelidikan dan pengurusan sumber marin berasaskan bukti saintifik.
"Kerjasama antara DOF, institusi penyelidikan dan sektor swasta amat penting dalam memperluaskan penggunaan teknologi bagi menyokong usaha pemuliharaan penyu serta memperkaya data saintifik yang menjadi asas kepada pengurusan sumber marin," katanya.
Tambahnya, kos perolehan bagi setiap unit penjejak satelit kita-kira RM21,000 dibiayai menerusi peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) serta sumbangan daripada Bumi Armada Berhad.
"Data yang diperoleh daripada pemantauan satelit akan dimanfaatkan bagi menyokong penyelidikan Jabatan Perikanan Malaysia dalam memahami taburan dan pergerakan penyu, sekali gus memperkukuh perancangan pengurusan serta pemuliharaan spesies berkenaan," ujarnya.