Wajah tak sama, etnik Rohingya dikesan guna kad UNHCR palsu

Iklan
Garry Belayong (kiri) dan pegawai bertugas memeriksa kad UNHCR yang dipercayai palsu semasa Ops Mega di sekitar Bandar Kota Bharu pada Jumaat. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Taktik menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu untuk menyamar sebagai pemegang dokumen sah terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mengesan tiga warga etnik Rohingya menggunakan kad yang memaparkan identiti individu lain dalam Operasi Penguatkuasaan (Ops Mega) di sekitar bandar ini pada Jumaat.

Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong Anak John Siki berkata, hasil semakan menggunakan aplikasi khas milik jabatan itu mendapati gambar pada kad UNHCR berkenaan tidak sepadan dengan wajah pemegangnya, manakala maklumat peribadi yang dipaparkan juga milik individu lain.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun itu merupakan sebahagian daripada 20 lelaki warga asing yang ditahan untuk siasatan lanjut dalam operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan 11 lokasi tumpuan di sekitar Bandar Kota Bharu.

"Semasa pemeriksaan kita mengimbas kod QR di belakang kad UNHCR menggunakan aplikasi jabatan. Hasil semakan mendapati wajah individu yang memegang kad itu berbeza dengan gambar dalam sistem, malah data peribadinya juga tidak sama.

Iklan

"Kita percaya kad itu palsu, namun siasatan lanjut akan dijalankan termasuk mendapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Ops Mega yang bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dilakukan di 11 'hots spot' di sekitar bandar ini melibatkan tangkapan warganegara Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar dan etnik Rohingya.

Iklan

Seramai 362 individu warga asing berusia antara dua hingga 60 tahun ditahan dan mereka terdiri daripada lima wanita serta selebihnya adalah lelaki.

Menurut Garry Belayong, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mendakwa kad tersebut diberikan oleh individu lain bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan.

"Mereka tidak menyatakan membeli kad itu, sebaliknya mendakwa ia diberikan oleh rakan. Kita akan menyiasat sama ada wujud sindiket yang mengeluarkan atau mengedarkan kad palsu ini termasuk jika melibatkan sebarang bayaran," katanya.

Beliau memberitahu, kad yang disyaki palsu itu juga didapati tidak mempunyai tarikh luput sebagaimana kad UNHCR yang sah.

Tambahnya, semua suspek akan direman bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada didakwa, dikompaun atau diusir mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam perkembangan sama, Garry Belayong menegaskan JIM Kelantan sentiasa menjalankan pemantauan terhadap penempatan warga asing berdasarkan risikan dan aduan orang ramai.

Katanya, hasil pemeriksaan sebelum ini mendapati kebanyakan warga asing yang berada di lokasi tumpuan memiliki kad UNHCR yang sah serta dokumen kerja yang masih berkuat kuasa menyebabkan tiada tindakan boleh diambil ketika itu.

"Daripada 362 warga asing yang diperiksa dalam operasi ini, majoritinya memiliki dokumen yang sah. Namun pemeriksaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

"Berdasarkan risikan setakat ini, kawasan Ketereh masih dikenal pasti sebagai antara lokasi yang mempunyai penempatan etnik Myanmar paling besar di Kelantan dan pemantauan berterusan akan dilakukan," katanya.