JOHOR BAHRU - Sindiket perlombongan mata wang kripto yang dipercayai menggunakan bekalan elektrik secara haram sehingga mampu mengaut keuntungan antara RM80,000 hingga RM100,000 sebulan tumpas selepas polis menyerbu empat premis di Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara dan Kulai.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi yang dijalankan pada Rabu dan Jumaat lalu itu hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, seramai tiga lelaki berusia antara 26 hingga 46 tahun ditahan, dengan seorang disyaki bertindak sebagai pengurus operasi manakala dua lagi dipercayai berperanan sebagai juruteknik yang mengendalikan pemasangan dan operasi mesin perlombongan mata wang kripto.
"Hasil siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan dipercayai bertindak sebagai pengurus yang menyelia operasi di keempat-empat premis berkenaan.
"Dua lagi suspek pula dipercayai berperanan sebagai juruteknik yang menguruskan pemasangan sistem pendawaian elektrik haram selain mengendalikan mesin-mesin perlombongan bitcoin," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Jumaat.
Menurut Ab Rahaman, sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi kira-kira sebulan sebelum berjaya dikesan hasil risikan dan perkongsian maklumat bersama TNB.
Katanya, sindiket menggunakan kaedah membuat sambungan elektrik secara terus dan haram tanpa melalui meter TNB bagi membolehkan operasi perlombongan dijalankan sepanjang masa tanpa perlu membayar bil elektrik mengikut kadar sebenar.
"Modus operandi ini membolehkan mereka mengurangkan kos operasi dengan ketara sekali gus menjana keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat," katanya.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan polis menyerbu dua rumah di Iskandar Puteri, sebuah rumah di Johor Bahru Utara dan sebuah lagi di Kulai yang dijadikan pusat perlombongan mata wang kripto.
"Hasil serbuan itu, polis merampas 71 mesin perlombongan mata wang kripto, dua komputer, dua komputer riba, lima penghala (router), enam mangga pelbagai jenama, dua monitor, dua papan kekunci komputer, satu tetikus, tiga rantai kunci, sebuah telefon bimbit serta dua kenderaan yang dipercayai digunakan sindiket.
"Siasatan turut mendapati semua premis terdiri daripada rumah dan rumah kedai yang disewa pada kadar antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, premis berkenaan disewa menggunakan nama individu lain dan bukannya suspek yang ditahan dipercayai sebagai helah mengelakkan kegiatan sindiket dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, hasil semakan TNB mendapati kegiatan berkenaan menyebabkan syarikat utiliti itu mengalami kerugian dianggarkan RM67,502.30 dalam tempoh kira-kira sebulan.
"Sindiket ini dipercayai memperoleh keuntungan antara RM80,000 hingga RM100,000 dalam tempoh sama, bergantung kepada nilai bitcoin di pasaran semasa," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 kerana mengganggu atau mengubah pepasangan elektrik.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang Januari 2025 hingga Jun 2026, Polis Johor telah menyerbu 16 premis yang menjalankan aktiviti perlombongan mata wang kripto menggunakan bekalan elektrik secara haram.
"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 158 mesin perlombongan mata wang kripto dirampas, manakala anggaran kerugian yang ditanggung TNB akibat kegiatan berkenaan hampir RM1 juta," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menyewakan rumah kediaman atau premis komersial kepada individu yang tidak dikenali, terutama jika ditawarkan kadar sewaan yang tinggi serta bayaran dibuat sekali gus untuk tempoh tertentu.