'Sepucuk Surat Sebuah Episod' singkap warkah tokoh tanah air

Iklan
Buku Sepucuk Surat, Sebuah Episod hasil karya dari penulis, Raja Ahmad Aminullah ketika majlis peluncuran buku Sepucuk Surat, Sebuah Episod di The Grey Box, Jalan Robertson pada Khamis. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Budayawan dan penggiat seni tersohor Raja Ahmad Aminullah mengabadikan warkah peribadi bersama tokoh-tokoh penting tanah air menerusi karya terbarunya, 'Sepucuk Surat Sebuah Episod: Rakaman Pelaku-Pelaku Zaman'.

Raja Ahmad atau lebih mesra disapa Pak Engku berkata, karya yang menghimpunkan arkib warkah peribadi serta interaksi eksklusif itu bukanlah sebuah buku politik, sebaliknya satu pendokumentasian sosiobudaya dan pemerhatian beliau terhadap persekitaran masyarakat.

Iklan
Iklan

"Saya tidak berminat dengan politik perkelahian, saya tak minat dengan proses politik kerana ia hanya pemerhatian," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku berkenaan oleh Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) Mohd Khair Ngadiron di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah barisan penggiat seni, sasterawan, ahli akademik serta rakan-rakan beliau.

Iklan

Menyingkap inti pati naskhah berkenaan, Pak Engku berkata, penulisan tersebut tidak bertujuan memfokuskan atau mengangkat mana-mana individu secara khusus sebaliknya ia adalah perkongsian untuk dijadikan ikhtibar dan pengajaran bersama.

"Buku ini bukan mengenai Mahathir Mohamad, bukan mengenai Anwar Ibrahim, dan pastinya bukan mengenai penulisnya yang inconsequential. Ia hanyalah rakaman satu episod yang berlaku sekitar 25 tahun lepas agar semua kita dapat manfaat daripada pengajaran terkandung di dalamnya," katanya.

Iklan

Raja Ahmad Aminullah berkata, penerbitan itu merupakan usahanya untuk mengabadikan ingatan serta peranan pernah dimainkan beliau dalam lipatan sejarah untuk dinilai oleh generasi akan datang dari sudut pandang lebih terbuka.

Naskhah tersebut dijangka menjadi bahan rujukan penting buat peminat sastera, sejarah dan sains sosial yang mahu memahami naratif perjuangan tokoh tempatan menerusi sudut pandang lebih manusiawi.

Buku setebal 169 muka surat terbitan Lestari Hikmah itu dijual pada harga RM30 bagi kulit lembut dan RM80 bagi kulit keras, dan boleh dibeli di kedai-kedai buku fizikal, acara tertentu mahupun secara dalam talian. - Bernama