KES seorang bapa yang dijatuhi hukuman penjara 270 tahun dan 180 sebatan selepas mengaku bersalah merogol dua anaknya bukan sekadar berita jenayah.
Ia merupakan cerminan kepada keruntuhan nilai kemanusiaan yang semakin membimbangkan. Apabila individu yang sepatutnya menjadi pelindung bertukar menjadi pemangsa, ia memberi tamparan hebat kepada institusi keluarga dan masyarakat.
Jenayah seksual terhadap kanak-kanak sentiasa meninggalkan kesan mendalam, namun apabila pelakunya ialah bapa kandung sendiri, impaknya jauh lebih besar.
Mangsa bukan sahaja kehilangan maruah dan keselamatan, malah turut kehilangan tempat bergantung. Rumah yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat berubah menjadi lokasi yang penuh ketakutan dan penderitaan.
Hukuman berat yang dijatuhkan mahkamah menunjukkan sistem perundangan negara tidak berkompromi terhadap jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.
Penjara selama 270 tahun dan 180 sebatan membawa mesej jelas bahawa pesalah yang mengkhianati amanah sebagai ibu bapa akan menerima balasan setimpal.
Walaupun hukuman itu tidak mampu memadam trauma mangsa, sekurang-kurangnya ia memberi keadilan serta menjadi amaran kepada pihak lain.
Namun, persoalan lebih penting ialah bagaimana penderaan ini boleh berlarutan sehingga melibatkan 11 pertuduhan. Dalam kebanyakan kes sumbang mahram, mangsa sering hidup dalam ketakutan, diugut atau dimanipulasi oleh pelaku.
Faktor pergantungan ekonomi, rasa malu dan kebimbangan terhadap pandangan masyarakat menyebabkan ramai mangsa memilih untuk berdiam diri selama bertahun-tahun.
Realitinya, jenayah seperti ini jarang berlaku secara tiba-tiba. Lazimnya terdapat petanda awal seperti perubahan emosi mangsa, prestasi akademik yang merosot, kemurungan, ketakutan terhadap ahli keluarga tertentu atau kecenderungan mengasingkan diri.
Malangnya, tanda-tanda ini sering disalah tafsir sebagai masalah disiplin atau perubahan biasa ketika membesar. Dalam konteks ini, tanggungjawab melindungi kanak-kanak tidak boleh dipikul oleh keluarga semata-mata. Guru, jiran, saudara-mara, petugas kesihatan dan masyarakat perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku kanak-kanak.
Sikap tidak mahu mencampuri urusan keluarga orang lain perlu diubah apabila melibatkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak. Pada masa sama, pendidikan mengenai keselamatan diri perlu diperkasakan sejak usia muda.
Kanak-kanak perlu dididik mengenali sentuhan selamat dan tidak selamat, memahami hak terhadap tubuh badan sendiri serta mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan jika berlaku gangguan seksual. Pendidikan seperti ini bukan mengajar perkara tidak bermoral, sebaliknya membina keberanian untuk melindungi diri.
Selain itu, sistem sokongan kepada mangsa perlu terus diperkukuh. Mangsa sumbang mahram bukan sahaja memerlukan perlindungan fizikal, malah rawatan psikologi, kaunseling berterusan serta bantuan pendidikan dan kebajikan bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan tanpa dibelenggu trauma yang berpanjangan.
Media juga memainkan peranan penting dalam melaporkan kes seumpama ini secara beretika. Fokus pemberitaan perlu tertumpu kepada kepentingan keadilan, perlindungan mangsa dan kesedaran masyarakat, bukannya sensasi yang boleh membuka ruang kepada identiti mangsa dikenal pasti atau mengundang stigma terhadap keluarga.
Kes ini sewajarnya menjadi titik muhasabah kepada seluruh masyarakat bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak bukan isu terpencil. Ia boleh berlaku dalam mana-mana keluarga tanpa mengira latar belakang ekonomi, pendidikan atau status sosial.
Oleh itu, setiap pihak perlu memainkan peranan bagi mewujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak bersuara dan mendapatkan perlindungan.
Akhirnya, hukuman 270 tahun penjara bukan sekadar angka tetapi simbol bahawa pengkhianatan terhadap amanah sebagai seorang bapa merupakan jenayah yang tidak boleh dimaafkan.
Dalam masa yang sama, masyarakat tidak boleh hanya menunggu mahkamah menjatuhkan hukuman. Keutamaan sebenar ialah memastikan tiada lagi kanak-kanak jadi mangsa penderaan seksual sebelum tragedi itu berulang.
*Juliana Rosdi ialah Sub Editor Sinar Harian