KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 bagi memperluas bidang kuasa undang-undang Malaysia terhadap jenayah seksual kanak-kanak yang berlaku di luar wilayah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, pindaan itu penting memandangkan kes jenayah seksual kanak-kanak membabitkan warganegara asing di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 117 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025.
Beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kes yang dilaporkan meningkat daripada 1,095 pada 2021 kepada 2,385 kes, tahun lepas.
“Malaysia tidak boleh bergantung kepada kerangka bidang kuasa yang terhad. Pindaan ini memastikan mana-mana individu mempunyai hubungan substantif dengan Malaysia tidak dapat mengelakkan tindakan undang-undang hanya kerana kesalahan tersebut dilakukan di luar negara,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan di Dewan Negara, di sini.
Kulasegaran berkata, pindaan RUU itu penting bagi memastikan Malaysia mempunyai bidang kuasa mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap pelaku kesalahan seksual kanak-kanak yang mempunyai hubungan nyata dengan Malaysia walaupun kesalahan tersebut melibatkan elemen rentas sempadan.
Selain itu, beliau berkata, PDRM menetapkan lima tumpuan utama siasatan forensik digital bagi menangani ancaman bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan kandungan deepfake yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, langkah itu merangkumi penganalisisan model AI, pemeriksaan log sistem, penjejakan alamat IP, serta pengesahan integriti data melalui nilai hash bagi memastikan rantaian bukti digital (chain of custody) kekal sah di mahkamah dalam usaha membanteras jenayah seksual berasaskan teknologi terkini.
"Fokus utama siasatan adalah untuk membuktikan kaitan antara kandungan digital tersebut dengan suspek melalui keterangan digital sah, analisis forensik yang boleh dipercayai, serta rantaian penjagaan barang kes yang lengkap dan tidak terputus.
"Dalam konteks RUU dibentangkan pada hari ini, perkembangan teknologi termasuk penggunaan AI turut menunjukkan bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak semakin kompleks dan boleh berlaku merentasi sempadan fizikal negara," katanya.
Kulasegaran berkata, lima tumpuan siasatan digital PDRM merangkumi rampasan serta pemeliharaan barang kes digital bagi menjaga rantaian bukti, pemeriksaan forensik digital melalui penganalisisan log sistem dan nilai hash, serta penganalisisan kandungan AI bagi mengesan imej atau video deepfake.
Selain itu, beliau berkata, siasatan turut melibatkan pengumpulan keterangan sokongan seperti rekod telekomunikasi dan log platform digital untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan, disusuli penyediaan laporan pakar forensik digital bagi menyokong dapatan saintifik kes.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua berkata, pindaan itu menghantar mesej yang jelas Malaysia tidak berkompromi terhadap mereka yang melakukan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dan merosakkan masa depan golongan itu.
Beliau berkata, meskipun RUU berkenaan ringkas dari segi bentuknya, kesannya amat signifikan kerana membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dalam keadaan yang sebelum ini tidak diliputi peruntukan sedia ada.
RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 30 Jun lepas itu bertujuan meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bagi memperluas pemakaian luar wilayah akta itu terhadap kesalahan yang dilakukan di luar negara apabila pelaku atau mangsa mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.- Bernama