Geng Fitri tumpas, aktif curi kabel, kenderaan dan diesel

Iklan
Polis Kedah menumpaskan ‘Geng Fitri’ yang dipercayai aktif mencuri kabel utiliti, kenderaan, komponen kenderaan dan diesel di Kedah, Pulau Pinang serta Perlis sejak awal Jun lepas. Foto Bernama

ALOR SETAR - Polis Kedah menumpaskan Geng Fitri yang dipercayai aktif mencuri kabel utiliti, kenderaan, komponen kenderaan dan diesel di Kedah, Pulau Pinang serta Perlis, sejak awal bulan lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejayaan itu susulan laporan kecurian kabel di Taman Jati, Kuala Nerang pada 29 Jun yang membawa kepada penahanan tujuh suspek termasuk seorang wanita tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 30-an di Pendang dan Sungai Petani.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati suspek dan lapan lagi yang masih bebas terlibat dalam 12 kes termasuk kecurian kabel, kereta, komponen kenderaan dan diesel selain satu kes pecah kontena serta kes pecah cermin kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Adzli berkata, operasi bermula selepas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap mengesan kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max putih yang disyaki digunakan dalam kejadian kecurian kabel di Kuala Nerang.

Iklan

Beliau berkata, polis mengejar kenderaan itu sehingga ke Bedong namun suspek melarikan diri dengan memasuki ladang kelapa sawit sebelum berjaya dikesan semula pada kira-kira 5 petang 14 Julai di Kampung Titi Akar, Pendang.

Adzli berkata, enam daripada mereka mempunyai rekod lampau manakala dua dikehendaki polis bagi kes jenayah dan dadah selain saringan awal air kencing enam suspek positif methamphetamine.

Iklan

Beliau berkata, polis merampas pelbagai barangan berkaitan jenayah itu termasuk Isuzu D-Max dengan nombor casis dan enjin telah diusik, Honda Civic FD, peralatan pemotong kabel, jaket keselamatan, kunci lurang Telekom Malaysia, alat pengesan logam serta mesin gerudi.

"Suspek akan bergerak secara berkumpulan pada awal pagi dengan menggunakan kenderaan curi dan menyamar sebagai kontraktor pembaikan kabel dengan memakai jaket keselamatan serta membawa pelbagai peralatan bagi mengaburi orang ramai.

"Kabel yang dicuri akan diproses sebelum dijual kepada pembeli barangan terpakai untuk mendapatkan keuntungan yang digunakan bagi perbelanjaan peribadi termasuk membeli dadah,” katanya.

Adzli berkata, polis meneruskan siasatan termasuk bagi mengesan ahli kumpulan yang masih bebas dan mengenal pasti individu serta premis yang terlibat dalam aktiviti pembelian, pelupusan atau penyimpanan barangan curi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama