PUTRAJAYA – Seramai 10 pegawai kanan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Kementerian Kewangan (MOF) selesai dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan pelaburan RM163 juta dalam syarikat eFishery di Indonesia.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan semua mereka terbabit sudah dirakam keterangan sejak Selasa.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa pihak termasuk ahli yang menganggotai Jawatankuasa Kewangan dan semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terbabit juga akan dipanggil bagi tujuan sama dalam masa terdekat ini.
"Pada kelmarin, keterangan daripada saksi sudah mula diambil dan setakat semalam, seramai 10 saksi dipanggil membantu siasatan iaitu pegawai kanan KWAP serta MOF yang terbabit dalam proses membuat keputusan.
Rakaman percakapan daripada semua 10 orang saksi ini juga sudah dirakamkan dan dimuktamadkan. Bagaimanapun, ia hanya sekadar langkah pada peringkat awal penyiasatan.
"Kita jangka lebih ramai lagi yang akan dipanggil termasuk ahli yang menganggotai Jawatankuasa Kewangan dan semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terbabit," katanya menerusi TikTok rasmi SPRM pada Khamis.
Abd Halim berkata, fokus siasatan SPRM meliputi kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
"Pada masa sama, SPRM turut meneliti aspek tatakelola termasuk prosedur kewangan, perundangan serta proses membuat keputusan dalam pelaburan KWAP ke dalam eFishery," katanya.
Beliau berkata, pasukan khas yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan turut dianggotai pegawai daripada Bahagian Siasatan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola.
"Pegawai penyiasat kini sedang mengkaji keterangan saksi dan meneliti dokumen yang diperoleh, selain akan melaksanakan jejak aliran kewangan bagi mengenal pasti sebarang transaksi yang berkaitan," katanya.
Tambah beliau, lebih ramai individu dijangka dipanggil bagi membantu siasatan termasuk ahli Jawatankuasa Kewangan serta semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terlibat dalam proses membuat keputusan.
"Antara dokumen yang diberikan perhatian ialah kertas cadangan awal dan akhir, laporan lawatan tapak, minit mesyuarat berkaitan eFishery, laporan usaha wajar, dokumen tatacara pelaburan serta dokumen kewangan KWAP," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, beberapa pihak di luar negara turut dikenal pasti untuk membantu siasatan.
Jelasnya, SPRM akan mengemukakan permohonan Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah (MACMA) menerusi Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa negara berkaitan bagi mendapatkan keterangan daripada saksi yang berada di luar negara.
"Siasatan masih di peringkat awal dan masih terlalu awal untuk SPRM memberikan sebarang rumusan. Kami memohon semua pihak memberi ruang dan masa supaya siasatan dapat dijalankan secara telus, adil dan menyeluruh.
"Saya telah mengarahkan pasukan siasatan supaya tidak terlepas pandang mana-mana aspek dalam usaha mendapatkan bukti berkaitan kes ini," katanya.