Perikatan Barisan Nasional: BN tiada hasrat bentuk gabungan baharu – Tok Mat

Iklan
Mohamad bersama calon BN DUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris ketika program santai bersama Tok Mat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampong Pedas Tengah, DUN 26 Chembong, pada Khamis.

REMBAU – Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai sebarang hasrat untuk membentuk gabungan politik baharu dengan mana-mana parti bagi menghadapi pilihan raya, sebaliknya hanya menjalinkan persefahaman bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN akan terus bergerak sebagai sebuah gabungan politik tersendiri dan tidak menjalinkan sebarang bentuk kolaborasi rasmi dengan parti lain.

Iklan
Iklan

Menurutnya, persefahaman yang diwujudkan hanyalah bagi memastikan tidak berlaku pertembungan yang boleh menyebabkan undi masyarakat Melayu terus berpecah.

“Kita gabungan kita BN. Kita cuma mengadakan persefahaman untuk mengharungi pilihan raya ini supaya tidak berlaku perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu. Jadi, orang ramai tidak perlu risau. Setakat ini, sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya tidak menjangkakan akan berlaku sebarang kolaborasi baharu melibatkan BN,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan pemberita mengenai Perikatan Barisan Nasional selepas program santai bersama beliau di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampong Pedas Tengah, DUN 26 Chembong, di sini, Khamis.

Mohamad berkata, UMNO dan BN mengambil iktibar daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 yang antaranya berpunca daripada perpecahan undi Melayu.

Iklan

Katanya, masalah tersebut perlu ditangani dengan menyatukan semula sokongan orang Melayu tanpa menjejaskan identiti serta perjuangan parti masing-masing.

“Kita tewas dalam dua pilihan raya kerana orang Melayu berpecah. Sakit berpunca, mati bersebab. Puncanya kita berpecah-belah, akhirnya kita kalah.

“Perpecahan inilah yang kita mahu tautkan dan satukan semula. Kita tidak mahu terlalu berpuak-puak sehingga akhirnya merugikan diri sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian kerusi, Mohamad berkata, BN berpegang kepada persefahaman bahawa kerusi yang dimenangi sesebuah parti sebelum ini akan terus ditandingi parti berkenaan.

Menurutnya, prinsip tersebut menyebabkan BN bersedia menyerahkan beberapa kerusi majoriti Melayu kepada rakan persefahaman walaupun keputusan itu mungkin berat untuk diterima sesetengah pihak.

“Ada banyak kerusi majoriti Melayu yang kita serahkan kerana persefahaman kita adalah siapa yang menang, kerusi itu menjadi miliknya.

“Jika mereka menang kerusi berkenaan, kita serahkan kepada mereka. Jika kita menang, kerusi itu kekal kepada kita. Kerusi lain pula akan diseimbangkan dan dibahagikan secara baik.

“Tidak timbul soal sama ada kita menyesal atau tidak kerana itulah persefahaman yang telah dipersetujui,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad memaklumkan Manifesto BN dijangka dilancarkan pada malam esok.

“Dakwaan yang tular mengatakan kita menciplak manifesto Sabah itu tidak benar. Kita tidak pernah berbuat demikian dan ia hanyalah perang psikologi pihak tertentu.

“Manifesto ini sebenarnya akan menyambung semula kerja-kerja BN yang tergendala selepas kerajaan BN tewas pada 2018.

“Asasnya sudah ada, tetapi kita akan memperkemas dan meneruskan semula perancangan yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Ditanya mengenai calon ‘poster boy’ atau individu yang akan mengetuai pentadbiran sekiranya BN memenangi pilihan raya, Mohamad berkata, perkara itu belum diputuskan.

“Kita belum bercakap mengenai poster boy. Biarlah kita berkempen dengan baik terlebih dahulu.

“Selepas itu, saya yakin parti akan memilih dan membuat keputusan mengenai individu yang sesuai untuk mewakili BN serta mentadbir sekiranya kita menang.

“Jangan terlalu sibuk bercakap mengenai poster boy tetapi kerja dan kempen tidak dijalankan dengan baik. Kita perlu melepasi garisan penamat terlebih dahulu,” katanya.