'Pakej umrah RM3,000 hingga RM4,000 sahaja tak logik' - PAPUH

Iklan
Karnival Pelancongan Islam PAPUH – Muslim Travel Fair 2026 bakal menemui pengunjung di Kompleks PKNS Shah Alam bermula 31 Julai hingga 2 Ogos.

SHAH ALAM - Tawaran pakej umrah pada harga luar biasa murah perlu dilihat dengan berhati-hati kerana ia boleh menjadi petunjuk awal risiko penipuan, termasuk kejadian jemaah terkandas selepas membuat bayaran kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Dr Fathir Alhadad Badri berkata, masyarakat mesti mengubah persepsi bahawa harga paling murah memberikan keuntungan kerana dalam industri umrah, kos perjalanan mempunyai kadar tertentu yang perlu ditanggung oleh pihak pengendali.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pengguna sering terpengaruh dengan tawaran pakej yang memberikan potongan harga terlalu tinggi tanpa membuat semakan latar belakang syarikat, lesen operasi dan kemampuan agensi terbabit dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Keadaan tersebut akhirnya menyebabkan bakal jemaah berdepan masalah apabila syarikat gagal menyediakan perkhidmatan sepertimana dijanjikan, termasuk isu tiket penerbangan dan penginapan.

Iklan

"Kalau ada pihak menawarkan pakej umrah RM3,000 atau RM4,000 sahaja sedangkan tiket penerbangan pun sudah sekitar RM3,600 hingga RM4,000, orang ramai perlu bertanya bagaimana pakej itu boleh ditawarkan.

Hadir sama, Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Muhammad Mursyid Abu Hassan; Ketua Pembangunan Perniagaan Islam dan Perniagaan Syariah Kumpulan RHB, Ishak Othman; Pengurus Bank Rakyat Cawangan Shah Alam, Huzaimi Ali serta wakil-wakil penaja.

Iklan

Muslim Travel Fair 2026 bakal berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos di Kompleks PKNS Shah Alam dengan pelbagai tawaran pakej umrah, aktiviti ilmu, cabutan bertuah dan sesi konsultasi bersama pemain industri.

Antara pempamer yang bakal menyertai karnival itu ialah Ziarra Travel & Tours, Kembara Taqwa Humaidi Holidays, In Saff, Kiffah Travel and Tours, Safwah Travel, Citadel Travel & Tours dan Ghanaz Travel and Event.

Karnival tersebut dijadual dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada hari pertama program.

Dalam masa sama, Fathir menjelaskan, pengguna perlu memahami perbezaan antara promosi yang munasabah dengan tawaran terlalu murah sehinggakan tidak selari kos sebenar industri.

Justeru, menurutnya, penganjuran Karnival Pelancongan Islam PAPUH-Muslim Travel Fair 2026 dilaksanakan sebagai platform untuk membantu masyarakat mendapatkan maklumat tepat dan membuat pilihan berdasarkan pengetahuan, bukan hanya dipengaruhi oleh faktor harga.

Tambah beliau, sebanyak 56 syarikat mengesahkan penyertaan dalam karnival berkenaan, termasuk 52 syarikat yang menawarkan pakej umrah, selain pemain industri lain seperti syarikat penerbangan, institusi kewangan dan penyedia pelancongan.

"Kita mahu masyarakat datang dan melihat sendiri pilihan yang ada. Mereka boleh membandingkan pakej, bertanya secara terus kepada syarikat dan memilih berdasarkan maklumat sahih," ujarnya.

Sementara itu, kata Fathir, Muslim Travel Fair 2026 bukan sekadar memfokuskan jualan pakej, tetapi juga membawa misi memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap industri pelancongan Islam negara.

"Penyertaan dalam karnival ini dikawal berdasarkan syarat ditetapkan PAPUH bagi memastikan syarikat yang mengambil bahagian mempunyai komitmen terhadap kualiti perkhidmatan dan pematuhan industri," jelasnya lagi.

Muhammad Mursyid turut senada dengan Fathir dalam konteks masyarakat perlu menjadikan aspek keselamatan dan kredibiliti sebagai keutamaan ketika memilih pakej umrah berbanding mengejar harga yang terlalu rendah.

"Jangan cari yang terlalu murah kerana apabila harga tidak masuk akal ditawarkan, ia boleh membawa kepada masalah besar. Kita mahu masyarakat membuat pilihan bijak dan selamat," katanya.