SHAH ALAM - Pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP mula menunjukkan reaksi tidak senang dengan realisasi penyatuan ummah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dakwa Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, PH dan DAP menyedari hakikat bahawa sekiranya rakyat benar-benar menterjemahkan penyatuan ummah di atas kertas undi, kedua-duanya bakal tersungkur dalam pilihan raya kali ini.
Lebih-lebih lagi menurutnya, trend pengundian masyarakat Cina terhadap DAP semakin menurun sejak pilihan raya di Sabah, Johor dan tidak mustahil berulang di Negeri Sembilan.
"Apabila koalisi penyatuan ummah dibentuk, gelombang penolakan terhadap DAP semakin membarah dan kuat," katanya di Facebook pada Khamis.
Pada 16 Julai lalu, PN mengumumkan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan yang bakal berlangsung 1 Ogos ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Kompas Kampung Ismail, Seremban.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada sesuatu yang tak kena dalam Kerajaan Perpaduan' - KJ
'Kerjasama UMNO, Pas mampu bentuk Kerajaan Selangor' - Noh Omar
'Selepas Johor, parti Rafizi akan dimalukan lagi di Melaka' - Penganalisis
'Menggelupur sangat bila kita nak bersatu' - Akmal Saleh bidas AMK
PH tawar manifesto yang bukan sekadar janji - Aminuddin
Menurut beliau, daripada 11 kerusi yang ditandingi, sebanyak lima kerusi diperuntukkan kepada Pas, empat Parti Wawasan Rakyat (Wawasan), satu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan satu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Pada masa sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, gabungan itu melengkapkan 'puzzle' kerusi yang tidak ditandingi Barisan Nasional (BN) yang mana parti itu hanya meletakkan calon di 25 DUN.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berpendapat bahawa sasaran 23 kerusi dalam pilihan raya kali ini adalah realistik.
"Sebanyak 14 kerusi yang dimenangi oleh UMNO dalam PRN lalu, tiga kerusi Pas dan dua kerusi di DUN Gemenceh dan Gemas mempunyai harapan yang tinggi untuk dimenangi BN serta PN, menjadikannya keseluruhan 19 kerusi.
"Empat lagi DUN dalam situasi terbuka dan berpotensi untuk dimenangi BN mahupun PN kerana mempunyai majoriti Melayu yang tinggi. Antaranya DUN Klawang dan Sikamat yang ditandingi Wawasan, DUN Ampangan ditandingi Pas serta DUN Pilah ditandingi UMNO.
"23 kerusi adalah sasaran yang realistik, bahkan mereka tidak sepatutnya mengaitkan bersama impaknya terhadap MCA kerana PRN Johor membuktikan kerusi dimenangi MCA meningkat sekali ganda," ujarnya.
Atas dasar itu, Ahmad Fadhli berpandangan, DAP bimbang dengan penyatuan ummah dan berusaha memecahkan penyatuan yang ada dengan pelbagai naratif-naratif palsu.
Jelasnya, DAP juga sanggup menabur fitnah apabila mengaitkan gagasan penting tersebut dengan sikap perkauman dan rasisme.
"Walhal mereka semua tahu semua itu sekadar fitnah. Mereka membina ketakutan terhadap bayang-bayang sendiri selain menyuburkan Islamophobia terhadap golongan bukan Islam untuk terus menjarakkan mereka dengan gagasan penyatuan ummah.
"Itulah perangai sebenar DAP, rakyat Negeri Sembilan tidak akan termakan fitnah. Gagasan ini disambut seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk menjadi senjata ampuh humban PH," tegas beliau.