JKDM kutip RM43.62 bilion, rampasan RM1.3 bilion

Iklan
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad (kanan) menunjukkan jumlah kutipan hasil JKDM di sini pada Khamis. FOTO : SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM43.62 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun lalu, sekali gus melepasi unjuran awal Kementerian Kewangan sebanyak RM40 bilion.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, pencapaian itu menyaksikan lebihan kutipan sebanyak RM3.62 bilion atau 109.05 peratus daripada sasaran yang ditetapkan bagi tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kutipan hasil itu turut menunjukkan peningkatan sebanyak RM7.93 bilion berbanding RM35.69 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

"JKDM akan terus menambah baik strategi dan pendekatan sedia ada bagi mengekalkan momentum positif ini serta mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM80 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan bagi tahun ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM di sini pada Khamis.

Iklan

Amran berkata, selain mencatat prestasi memberangsangkan dalam kutipan hasil, JKDM turut memperkukuh aspek penguatkuasaan apabila berjaya mematahkan 3,609 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai sepanjang tempoh Januari hingga 30 Jun lalu.

"Tindakan penguatkuasaan itu membabitkan sitaan pelbagai jenis barangan dengan jumlah nilai rampasan termasuk duti dan cukai mencecah RM1.30 bilion, meningkat 21.5 peratus berbanding RM1.07 bilion dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Iklan

Menurut beliau, dadah mencatatkan nilai rampasan tertinggi dengan 220 kes membabitkan lebih 2,750 kilogram dan 3,399 liter pelbagai jenis dadah bernilai RM366.58 juta.

"Rokok pula merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,494 kes melibatkan lebih 1.23 bilion batang dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM329.27 juta.

"Kenderaan pula membabitkan 511 kes dengan nilai rampasan RM191.07 juta, manakala minuman keras mencatatkan 417 kes bernilai RM81.41 juta," katanya.

Tambah beliau, JKDM akan terus memperkukuh pengurusan risiko, audit pematuhan dan operasi bersasar menerusi penggunaan analitik data, teknologi serta pemprofilan yang lebih berkesan.

"Tumpuan juga akan diberikan kepada komoditi berisiko tinggi, penyalahgunaan kemudahan percukaian dan kes berimpak tinggi bagi mengekang ketirisan hasil serta membanteras perdagangan haram yang mengancam keselamatan, ekonomi dan kepentingan negara," katanya.