Tukar alamat MyKad bukan tukar pusat mengundi, rakyat tak perlu panik - JPN

Iklan
Badrul Hisham (kiri) menyerahkan sijil kelahiran kepada penerima di Kampung Johal, Kuala Krai sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), pada Khamis.

KUALA KRAI – Kekeliruan bahawa penukaran alamat pada MyKad akan menyebabkan pusat mengundi berubah secara automatik ditepis Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menegaskan kedua-dua urusan itu berada di bawah bidang kuasa berbeza.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, rakyat tidak perlu panik dengan dakwaan yang tular di media sosial kerana mengemas kini alamat pada MyKad tidak akan menukar lokasi mengundi secara automatik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, urusan pusat mengundi adalah di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebarang perubahan hanya boleh dibuat mengikut prosedur serta proses pewartaan yang ditetapkan.

"Penukaran alamat MyKad adalah urusan JPN, manakala pusat mengundi pula berada di bawah bidang kuasa SPR," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Iklan

Sebelum itu beliau menyerahkan sijil kelahiran kepada sebuah keluarga di Kampung Johal di sini sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, mengikut Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara, individu yang berpindah tempat tinggal melebihi tempoh 90 hari diwajibkan mengemas kini alamat pada MyKad.

Iklan

Bagaimanapun, ujarnya, walaupun undang-undang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 25 iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, JPN tidak berhasrat mengambil tindakan secara membuta tuli terhadap rakyat.

"JPN bukan hendak menghukum atau berlaku zalim kepada rakyat. Apa yang kita mahu ialah orang ramai mematuhi undang-undang dan memastikan maklumat alamat sentiasa tepat serta terkini.

"Setiap kes akan dilihat berdasarkan keadaan dan pemeriksaan yang munasabah sebelum sebarang tindakan dipertimbangkan," katanya.

Beliau turut menjelaskan, pemohon perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti bil utiliti bagi membuktikan alamat yang didaftarkan benar-benar wujud dan didiami.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan rekod penduduk sentiasa tepat serta memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan kerajaan pada masa hadapan.