Pahang perlu segera selesai isu tanah Kampung Sungai Cot - Muhammad Kamil

Iklan
Muhammad Kamil

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Pahang digesa agar tidak lagi berlengah dan segera melaksanakan tanggungjawab berhubung pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli tidak boleh terus terkesan akibat kelewatan membuat keputusan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka berhak memperoleh penyelesaian yang adil, bermaruah dan tanpa penangguhan.

"Dalam keghairahan segelintir pihak meraih keuntungan politik, janganlah fakta dan prinsip Perlembagaan diputarbelitkan sehingga mengelirukan rakyat.

Iklan

"Mengaburkan batas bidang kuasa bukan sahaja tidak membantu masyarakat Orang Asli, malah hanya akan melambatkan usaha mencari penyelesaian yang adil dan tuntas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.

Iklan

Muhammad Kamil menegaskan bahawa Perdana Menteri telah mengambil maklum akan perkara yang dibangkitkan dan segera menghubungi wakil masyarakat Orang Asli bagi mendengar sendiri permasalahan yang mereka hadapi.

Jelasnya, perkara tersebut akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri Pahang memandangkan urusan pentadbiran dan pemilikan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Kerajaan Negeri dalam urusan tanah.

"Namun begitu, beliau tidak pernah berdiam diri.

"Beliau akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan mengangkat isu ini kepada Kerajaan Negeri agar penyelesaian dapat dicapai segera secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang," ulasnya.