KOTA KINABALU - Seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dengan memperoleh peruntukan pembinaan sebuah dewan berjumlah RM2 juta.
Makinsos Nawai, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Andi Razalijaya A Dadi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar tahun 2022 di tapak Pembinaan Dewan Kebudayaan dan Galeri Rungus, Kota Marudu.
Sebagai Presiden Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) yang merupakan pegawai badan awam, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan berupa peruntukan pembinaan dewan berjumlah RM2 juta daripada Kementerian Kewangan Sabah.
Tertuduh didakwa mengemukakan permohonan dan melaksanakan sendiri pembinaan dewan berkenaan tanpa mendapat persetujuan Ahli Majlis Tertinggi PRBS, selain mempunyai kepentingan dalam menguruskan permohonan peruntukan serta pelaksanaan projek tersebut.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.
Selepas pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku memahami pertuduhan namun mengaku tidak bersalah.
"Saya tidak mengaku salah kerana dewan itu telah pun siap 100 peratus," katanya ketika berada di kandang tertuduh.
Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Baharom memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan, termasuk tertuduh melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport terhad kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Menurutnya, jumlah jaminan yang dimohon adalah munasabah memandangkan nilai perkara yang menjadi pertikaian dalam kes itu melibatkan peruntukan berjumlah RM2 juta.
Bagaimanapun, peguam bela, Datuk Ram Singh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang berusia 67 tahun, menetap di Kota Marudu dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Beliau berkata, tertuduh telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang siasatan, berjaya menyediakan deposit tunai RM5,000 serta tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
Ram hadir mewakili tertuduh bersama rakan sepasukannya iaitu Prem Elmer Ganasan, Prabjit Singh Gill dan Ian Vun Chit Khen.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin tempatan yang mempunyai pekerjaan tetap dan alamat kediaman tetap, selain mengarahkan deposit tunai sebanyak RM5,000.
Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Selain itu, tertuduh diarahkan menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan tidak dibenarkan meninggalkan negara tanpa kebenaran mahkamah.
Tertuduh juga dilarang mengganggu, menghubungi atau mempengaruhi mana-mana saksi pendakwaan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 27 Ogos dan tarikh perbicaraan pada 2 hingga 4 November depan.