Lelaki disiasat kes menyamar ADC Raja Muda dipenjara setahun, dua sebatan tipu selebriti

Iklan
Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Amirul Asyraf Abdul Rasid.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disiasat berhubung kes menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor dihukum penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu berkaitan tawaran aset hartanah.

Al Zulfadly Alias, 40, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Amirul Asyraf Abdul Rasid.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 27 Oktober lalu.

Bagaimanapun, seorang wanita, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Iklan

Mengikut semua pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menipu seorang selebriti lelaki berhubung tawaran pembelian aset hartanah.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM30,000 menerusi dua transaksi pindahan kredit ke akaun bank milik Al Zulfadly di Wangsa Maju pada 10 dan 12 Mei 2024.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham.

Al Zulfadly diwakili peguam, Mohd Ridzwan Warisi sementara Nurul Nur Syahirah oleh peguam, Shah Rizal Abdul Manan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, Al Zulfadly turut mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Bagaimanapun, Nurul Nur Syahirah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa.

Mahkamah menetapkan Selasa untuk fakta kes dan jatuh hukum terhadap Al Zulfadly.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menipu seorang doktor wanita berhubung tawaran aset hartanah di Eco Ardence serta sebuah kenderaan mewah jenis Lexus LM 500h.

Perbuatan itu mendorong mangsa memindahkan wang RM155,000 menerusi empat transaksi dalam talian ke akaun bank milik Al Zulfadly di Jalan Ampang di sini antara 2 hingga 19 Julai lalu.

Empat transaksi berkenaan masing-masing membabitkan RM45,000, RM20,000, RM45,000 dan RM45,000.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri.

Mahkamah membenarkan Nurul Nur Syahirah diikat jamin RM15,000 dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Disember depan bagi kes dihadapi tertuduh wanita berkenaan.